Jumaat, 29 Julai 2022 | 4:48pm
MiG-21 telah digelar 'keranda terbang' kerana rekod keselamatannya yang lemah. - Foto AFP
MiG-21 telah digelar 'keranda terbang' kerana rekod keselamatannya yang lemah. - Foto AFP

2 juruterbang maut, jet pejuang era-Soviet terhempas

NEW DELHI: Dua juruterbang maut selepas sebuah jet pejuang era-Soviet terhempas semasa latihan di India, kata tentera udara, meningkatkan kebimbangan keselamatan selepas beberapa insiden membabitkan pesawat itu.

Kementerian Pertahanan berkata, MiG-21 jatuh di padang pasir barat Rajasthan berdekatan bandar Barmer, malam semalam dengan nahas itu adalah pesawat MiG-21 keenam terhempas sejak Januari tahun lalu, mengorbankan lima juruterbang.

Tentera Udara India (IAF) berkata, pesawat latihan itu 'kemalangan' dan siasatan bagi menentukan punca nahas sudah diarahkan.

"IAF bersimpati dengan kehilangan nyawa dan berdiri teguh bersama keluarga yang berduka," ciap tentera udara.

Rakaman media tempatan menunjukkan serpihan yang terbakar tersebar di kawasan luas.

Menteri Pertahanan, Rajnath Singh menerusi ciapan di Twitter berkata 'sangat sedih' dengan kehilangan dua juruterbang dalam nahas itu dan jasa mereka kepada negara tidak akan dilupakan.

Jet MiG-21 mula memasuki perkhidmatan India pada 1960-an dan berkhidmat selama beberapa dekad sebagai tulang belakang tentera udaranya.

Banyak kemalangan dalam beberapa dekad lalu, menyebabkan pesawat itu digelar 'keranda terbang' kerana rekod keselamatannya yang lemah.

India melabur berbilion dolar bagi memodenkan tentera udaranya, inisiatif didorong persaingan berdekad lamanya dengan Pakistan dan meningkatkan ketegangan dengan China.

Tenteranya membeli puluhan jet pejuang Rafale Perancis, dengan penghantaran bermula pada 2020. - AFP

Berita Harian X