Khamis, 28 Julai 2022 | 6:34pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

17 maut dalam pertempuran di Sweida, Syria

SWEIDA: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera di wilayah Sweida, selatan Syria dalam pertempuran antara penduduk bersenjata dan kumpulan yang bersekutu dengan agensi keselamatan, kata aktivis serta media tempatan hari ini.

Wilayah majoriti dihuni penduduk Duruzi itu sebelum ini tidak terdedah daripada konflik berdarah yang melanda seluruh negara itu sejak 2011, namun tempias perhimpunan tunjuk perasaan berikutan kemelesetan ekonomi turut dirasai wilayah itu.

Penduduk juga semakin kecewa terhadap pejuang disokong kerajaan yang melakukan penahanan sewenang-wenangnya, sekatan jalan raya secara rambang dan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan, kata aktivis dan ketua saluran media tempatan Suwayda24, Rayan Maarouf,

Suwayda24 melaporkan, hujung minggu lalu, seorang penduduk ditahan menyebabkan mereka bertindak balas dengan melakukan sekatan jalan raya dan menahan anggota kumpulan yang disokong kerajaan serta mengepung pangkalan mereka.

"Pemberontakan ini berlaku secara tiba-tiba dan mereka menyerang pangkalan kumpulan bersenjata ini dengan menggunakan senjata berat," kata Maarouf kepada Reuters.

Suwayda24 dan akhbar Al-Watan yang prokerajaan melaporkan Pengarah Kesihatan Sweida memberitahu pertempuran itu menyebabkan 17 orang maut.

Kerajaan Syria tidak mengulas mengenai keganasan itu tetapi Al-Watan berkata pertempuran semakin reda dan rundingan mengenai penyelesaian sedang dijalankan.

Suwayda24 melaporkan lelaki yang diculik pada hujung minggu lalu sudah dibebaskan..

Sweida menyaksikan protes yang jarang berlaku pada awal tahun ini, apabila berpuluh-puluh orang berkumpul di ibu kota wilayah itu menuntut pemotongan subsidi gas dihentikan. - REUTERS

Berita Harian X