Rabu, 13 Julai 2022 | 8:36pm
Penunjuk perasaan dilihat bersedia memasuki pejabat pejabat Perdana Menteri, Ranil Wickremasinghe, menuntut peletakan jawatannya. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan dilihat bersedia memasuki pejabat pejabat Perdana Menteri, Ranil Wickremasinghe, menuntut peletakan jawatannya. - Foto REUTERS

Gotabaya 'akan hantar' surat peletakan jawatan hari ini - Speaker Parlimen

COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri ke Maldives hari ini, menelefon Speaker Parlimen dan menegaskan akan menghantar surat peletakan jawatannya pada hari ini juga.

"Presiden menghubungi saya menerusi telefon dan memberi jaminan surat peletakan jawatannya akan saya terima pada hari ini," kata Speaker parlimen, Mahinda Yapa Abeywardena, dalam satu kenyataan video.

"Saya merayu kepada orang ramai supaya yakin terhadap proses Parlimen yang sudah pun menetapkan pelantikan Presiden baharu pada 20 Julai ini dan berharap ia berjalan secara lancar," katanya.

Ribuan penunjuk perasaan merempuh hadangan dan menyerbu pejabat Perdana Menteri di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA
Ribuan penunjuk perasaan merempuh hadangan dan menyerbu pejabat Perdana Menteri di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA

Petang tadi, Gotabaya, yang sepatutnya meletak jawatan, melarikan diri ke Maldives dan sebaliknya menurunkan kuasa kepada Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, untuk memangku tugasnya.

Wickremesinghe, yang sebelum ini turut bersetuju untuk meletak jawatan, sebaliknya memangku jawatan presiden dan menisytiharkan darurat di seluruh Sri Lanka.

Tindakan Wickremesinghe bermakna Speaker Parlimen, Mahinda Abeywardana, tidak boleh memangku jawatan presiden sehingga presiden baharu dilantik, seperti mana ditetapkan Perlembagaan dan dipersetujui sebelum ini.

Bagaimanapun, pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan menuduh Wickremesinghe kini bersubahat dengan Rajapaksa dan memberi amaran bahawa mereka akan 'ditentang habis-habisan' jika tidak meletak jawatan hari ini.

Anggota kesatuan sekerja melaungkan slogan membantah pelantikan Ranil Wickremesinghe selaku pemangku presiden, di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA
Anggota kesatuan sekerja melaungkan slogan membantah pelantikan Ranil Wickremesinghe selaku pemangku presiden, di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA

Petang tadi, penunjuk perasaan terus menyerbu pejabat perdana menteri dengan laungan 'Ranil balik' bergema, biar pun pihak berkuasa berulang kali menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah mereka.

Wickremesinghe, menerusi kenyataan yang disiarkan di televisyen, berkata beliau sudah mengarahkan tentera dan polis melakukan 'apa yang perlu' bagi mengembalikan keamanan.

Namun, siaran televisyen menunjukkan anggota tentera dan polis yang bersenjata hanya berkawal tanpa bertindak terhadap penunjuk perasaan.

Sementara itu, Ketua Pertahanan Sri Lanka, Jeneral Shavendra Silva, sebentar tadi berkata angkatan tentera dan polis akan menghormati Perlembagaan dan meminta semua pihak bertenang.

"Kami sudah meminta pemimpin politik membuat keputusan mengenai hala tuju seterusnya, sehingga presiden baharu mengangkat sumpah dan perkara itu dimaklumkan kepada kami (polis dan tentera) serta orang awam hari ini," katanya. - AGENSI

Berita Harian X