Ahad, 10 Julai 2022 | 2:19pm
Polis menggunakan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan dekat kediaman rasmi Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, bagi menuntut beliau segera meletak jawatan. - Foto REUTERS
Polis menggunakan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan dekat kediaman rasmi Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, bagi menuntut beliau segera meletak jawatan. - Foto REUTERS

IMF harap Sri Lanka mampu selesaikan kemelut politik

NEW DELHI: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata pihaknya berharap pergolakan politik Sri Lanka dapat diselesaikan segera bagi membolehkan penyambungan semula rundingan pakej bantuan kewangan.

Difahamkan, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, akan meletakkan jawatan pada Rabu ini selepas ribuan penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasmi dan sekretariatnya semalam, kata seorang pegawai.

Penunjuk perasaan juga membakar kediaman peribadi Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, bagi meluahkan kemarahan terhadap kegagalan pucuk pimpinan negara itu menangani krisis ekonomi.

Anggota kesatuan sekerja melaungkan slogan membantah pelantikan Ranil Wickremesinghe selaku pemangku presiden, di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA
Anggota kesatuan sekerja melaungkan slogan membantah pelantikan Ranil Wickremesinghe selaku pemangku presiden, di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA

"Kami berharap untuk penyelesaian segera pergolakan semasa, yang akan membolehkan dialog mengenai program disokong IMF disambung semula," kata IMF dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) hari ini menggesa pemimpin Sri Lanka bertindak cepat untuk mencari penyelesaian jangka panjang selepas presiden dihalau dari kediamannya dan mengumumkan peletakan jawatan.

Ketika Rajapaksa bersiap sedia untuk berundur, AS menggesa Parlimen Sri Lanka menunjukkan komitmen untuk memajukan negara, bukan mana-mana parti politik, kata jurucakap Jabatan Negara ketika Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, melawat Thailand.

"Kami menggesa kerajaan ini atau mana-mana kerajaan baharu yang dipilih mengikut Perlembagaan supaya bertindak pantas mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian yang akan mencapai kestabilan ekonomi jangka panjang.

"Mereka juga perlu menangani rasa tidak puas hati rakyat Sri Lanka terhadap keadaan ekonomi yang semakin teruk, termasuk kekurangan bekalan elektrik, makanan dan bahan api," katanya.

AS memberi amaran terhadap serangan ke atas penunjuk perasaan atau wartawan dan turut mengkritik keganasan semalam apabila sekumpulan perusuh menyerbu kediaman Rajapaksa.

"Rakyat Sri Lanka mempunyai hak untuk bersuara secara aman dan kami menggesa siasatan penuh, penahanan dan pendakwaan sesiapa saja yang terbabit dalam sebarang keganasan berkaitan protes," kata jurucakap itu. - REUTERS

Berita Harian X