Khamis, 7 Julai 2022 | 3:25pm
Sebuah meteor 'berapi' melintasi ruang udara ibu negara New Zealand, menghasilkan sinaran terang termasuk bunyi letupan. - Foto AGENSI
Sebuah meteor 'berapi' melintasi ruang udara ibu negara New Zealand, menghasilkan sinaran terang termasuk bunyi letupan. - Foto AGENSI

Meteor cetus sinar terang lintasi ruang udara Wellington

WELLINGTON: Sebuah meteor 'berapi' melintasi ruang udara ibu negara New Zealand, menghasilkan sinaran terang termasuk bunyi letupan, kata puluhan penduduk yang menyaksikan kejadian itu hari ini.

Pusat ramalan cuaca, MetService menerusi hantaran di Twitter berkata, radarnya mengesan jejak asap meteor terbabit.

Agensi geologi tempatan, GeoNet pula percaya mesin seismometernya mengenalpasti bunyi gelombang sekitar jam 1.50 petang (waktu tempatan).

Menurut seorang saksi, Mike Cousin yang ketika itu sedang bekerja berhampiran Wellington melihat biliknya diterangi dengan sinaran berwarna biru-jingga.

"Saya lari keluar dan melihat jejaknya dan kemudian terdengar bunyi deram-derum perlahan, sama seperti permulaan gempa bumi," katanya kepada Reuters.

Seorang Ahli Astronomi di Balai Cerap Mount John Universiti Canterbury, Alan Gilmore, menjelaskan meteor terang yang melalui ruang atmosfera sangat laju adalah kejadian yang jarang berlaku di kawasan bandar.

"Sinarannya sangat terang dan ia mesti sebuah objek yang agak besar," kata Gilmore.

Tambahnya, letupan yang kedengaran dihasilkan meteor berkenaan menunjukkan ia datang dalam jarak 60 kilometer (km) dari Bumi.

Berikutan kejadian itu, tiada laporan mengenai terdapat meteor menghentam kawasan daratan atau lautan serta tidak ada penemuan serpihan daripada objek berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X