Isnin, 4 Julai 2022 | 9:54pm
Gambar dikeluarkan pihak kerajaan Hong Kong menunjukkan sebahagian kapal yang terbelah dua di Laut China Selatan ketika Taufan Chaba membadai. - FOTO AFP
Gambar dikeluarkan pihak kerajaan Hong Kong menunjukkan sebahagian kapal yang terbelah dua di Laut China Selatan ketika Taufan Chaba membadai. - FOTO AFP

Kapal terbelah dua, karam di Laut China Selatan: 12 mayat sudah ditemukan

BEIJING: Sebanyak 12 mayat ditemukan berikutan kejadian kapal karam di Laut China Selatan pada hujung minggu lalu yang menyebabkan puluhan kru hilang, kata pihak berkuasa China, hari ini.

Pengumuman itu menyusul beberapa hari selepas insiden sebuah kapal kejuruteraan yang berada di 160 batu nautika (296 kilometer) barat daya Hong Kong, mengalami kerosakan besar dan terbelah dua ketika taufan.

"Setakat jam 3.30 petang tadi, pasukan penyelamat menemui 12 mayat dipercayai mangsa lemas, di kawasan kira-kira 50 batu nautika barat daya lokasi kapal itu karam.

"Jabatan berkaitan sedang menyegerakan usaha mengesahkan identiti," menurut Pusat Mencari dan Menyelamat Maritim Guangdong.

Media China, CGTN melaporkan sejumlah 30 kru meninggalkan kapal dikenali sebagai Fujing 001 itu yang digunakan untuk pembinaan tenaga angin luar pesisir, selepas rantai sauhnya terputus akibat taufan.

CCTV pula melaporkan, kren terapung bagi projek ladang angin luar pesisir itu didapati berada dalam keadaan bahaya oleh sistem pemantauan, kelmarin, sebelum ia tenggelam.

Terdahulu media China melaporkan, tiga kru terbabit berjaya diselamatkan kelmarin diikuti seorang lagi pada awal pagi tadi, manakala nasib 26 anak kapal yang lain masih belum diketahui.

Menurut CCTV, pasukan penyelamat memperluas skop pencarian di sekitar lokasi kejadian, dengan petugas perubatan dihantar bersama setiap kapal penyelamat bagi memberi bantuan segera kepada mana-mana mangsa yang berjaya ditemukan.

Rakaman awal oleh pihak berkuasa Hong Kong menunjukkan seorang individu diselamatkan dengan menggunakan helikopter, ketika ombak terus menghempas dek kapal berkenaan yang separuh tenggelam.

Menurut kerajaan Hong Kong dalam satu kenyataan, tiga mangsa yang terselamat memaklumkan bahawa kru lain berkemungkinan sudah dihanyutkan ombak sebelum helikopter pertama tiba.

Taufan Chaba terbentuk di bahagian tengah Laut China Selatan sebelum membadai wilayah Guangdong di selatan China, kelmarin.

Pasukan penyelamat di Hong Kong yang dimaklumkan mengenai insiden itu pada jam 7.25 pagi, kemudian menemui kapal terbabit berhampiran pusat Chaba di mana keadaan cuaca buruk serta ladang angin berdekatan menjadikan operasi 'lebih sukar dan berbahaya.' - AFP

Berita Harian X