Isnin, 4 Julai 2022 | 12:49pm
Aktivis wanita Afghanistan berkumpul untuk membantah sekatan Taliban di Kabul, Afghanistan- - Foto AGENSI
Aktivis wanita Afghanistan berkumpul untuk membantah sekatan Taliban di Kabul, Afghanistan- - Foto AGENSI

Aktivitis wanita Afghanistan selar Taliban pemerintah tak sah

KABUL: Aktivis wanita Afghanistan menggelar Taliban sebagai pemerintah yang tidak sah walaupun terdapat pengisytiharan oleh beribu-ribu ulama yang menyokong kerajaan berkenaan.

Kelmarin, ulama berikrar taat setia kepada Taliban dan ketuanya susulan mesyuarat tiga hari yang turut dilihat gagal menangani isu seperti hak remaja perempuan untuk ke sekolah.

Taliban - yang merampas kuasa Ogos lalu - cuba menyatakan bahawa pertemuan itu sebagai undi percaya untuk menjadi sebuah negara Islam tulen yang berpegang kepada undang-undang syariah.

Mereka menegaskan minggu lalu bahawa wanita akan diwakili dalam mesyuarat itu, yang dihadiri oleh lebih 3,500 lelaki.

"Kenyataan yang dikeluarkan atau berikrar taat setia kepada Taliban dalam mana-mana perhimpunan atau acara tanpa kehadiran separuh daripada penduduk negara iaitu wanita, tidak boleh diterima.

"Sidang kemuncak ini... tidak mempunyai legitimasi, kesahihan, atau kelulusan rakyat," kata seorang aktivis hak asasi yang kini dalam buangan di Norway, Hoda Khamosh kepada AFP.

Sejak kembali berkuasa pada Ogos, tafsiran keras oleh Taliban terhadap undang-undang syariah dengan mengenakan sekatan yang teruk ke atas rakyat Afghanistan, khususnya kepada wanita.

Gadis-gadis sekolah menengah dilarang daripada pendidikan dan wanita dihalang daripada bekerja dalam pekerjaan kerajaan, dilarang berjalan bersendirian dan diperintahkan untuk memakai pakaian yang menutupi segala-galanya kecuali muka.

Taliban juga telah mengharamkan muzik bukan agama dimainkan, mengarahkan saluran TV untuk berhenti menayangkan filem dan drama yang memaparkan wanita yang tidak bertudung, malah mengarahkan lelaki untuk memakai pakaian tradisional serta memanjangkan janggut mereka.

Di Kabul, gabungan kumpulan wanita juga menyelar mesyuarat ulama sebagai tidak mewakili rakyat.

"Ulama hanyalah sebahagian daripada masyarakat, mereka bukan keseluruhannya.

"Keputusan yang mereka buat hanya untuk kepentingan mereka sendiri dan bukan untuk kepentingan negara dan rakyatnya. Tiada apa-apa untuk wanita dalam agenda, mahupun dalam komuniti," kata penganjur Ainoor Uzbik kepada AFP selepas sidang media.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu berkata, lelaki seperti Taliban memegang kuasa mutlak sebelum ini dalam sejarah tetapi biasanya hanya untuk masa yang singkat sebelum mereka disingkirkan.

Satu-satunya perkara yang boleh dilakukan oleh rakyat Afghanistan ialah meninggikan suara dan menuntut masyarakat antarabangsa memberi tekanan kepada Taliban," kata Uzbik lagi. - AFP

Berita Harian X