Ahad, 3 Julai 2022 | 9:57am
Pejalan kaki mengharungi banjir ketika hujan lebat akibat Taufan Chaba yang melanda Sanya di wilayah Hainan. - Foto REUTERS
Pejalan kaki mengharungi banjir ketika hujan lebat akibat Taufan Chaba yang melanda Sanya di wilayah Hainan. - Foto REUTERS

Taufan Chaba: Wilayah Guangdong berisiko tinggi dilanda bencana

SHANGHAI: Taufan pertama China pada tahun ini membawa angin ribut dan hujan ke pantai selatan ketika ramalan kaji cuaca memberi amaran awal mengenai rekod hujan serta risiko bencana tinggi di Wilayah Guangdong.

Taufan Chaba, bergerak ke barat laut pada kelajuan 15 hingga 20 kilometer sejam (kmj) selepas melanda bandar Maoming di Guangdong petang semalam, kata Pusat Meteorologi Negara dalam satu kenyataan.

Chaba, walaupun berintensiti sederhana dan dijangka hilang kekuatan dari semasa ke semasa berkemungkinan membawa hujan yang sangat lebat, selain boleh memecahkan rekod hujan terkumpul, kata ketua peramal pusat itu, Gao Shuanzhu.

"Wap air monsun yang banyak akan membawa kepada hujan lebat dan hujan kumulatif yang besar secara ekstrem.

"Antara kawasan berisiko tinggi ialah barat Guangdong dengan taufan China biasanya berlarutan, timur wilayah autonomi Guangxi dan wilayah Pulau Hainan dengan ribut hujan menyebabkan tanah runtuh serta banjir di kawasan bandar," kata Gao yang meramalkan sehingga 600 milimeter hujan terkumpul di beberapa kawasan.

Hainan menaik taraf respons kecemasannya kepada tahap dua, kedua tertinggi semalam dengan menggantung perkhidmatan kereta api di seluruh pulau dan membatalkan lebih 400 penerbangan dari bandar Haikou dan Sanya.

Di Macau pula, seorang cedera akibat taufan Chaba, lapor televisyen kerajaan.

Di perairan Hong Kong yang terletak 270 kilometer di Timur Laut Maoming, lebih 24 kru kapal kejuruteraan hilang selepas terputus dua ketika dilanda Taufan Chaba, kata pihak berkuasa.

Cuaca ekstrem termasuk banjir luar biasa akibat hujan lebat dijangka berterusan di China hingga Ogos ini, menurut ramalan kaji cuaca minggu ini. - REUTERS

Berita Harian X