Sabtu, 2 Julai 2022 | 8:42pm
Pasukan penyelamat membawa naik ke helikopter salah seorang mangsa kapal karam selepas dilanda Taufan Chaba di Laut China Selatan, di luar pesisir pantai Hong Kong. - Foto REUTERS
Pasukan penyelamat membawa naik ke helikopter salah seorang mangsa kapal karam selepas dilanda Taufan Chaba di Laut China Selatan, di luar pesisir pantai Hong Kong. - Foto REUTERS

Kapal karam di Laut China Selatan, puluhan masih hilang

HONG KONG: Puluhan anak kapal belum ditemui selepas kapal mereka pecah dua ketika taufan di Laut China Selatan hari ini, dengan anggota penyelamat bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Kapal kejuruteraan yang berada di kedudukan 160 batu nautika di barat daya Hong Kong itu 'mengalami kerosakan besar dan pecah menjadi dua bahagian', memaksa 30 anak kapal meninggalkannya, kata Perkhidmatan Penerbangan Kerajaan Hong Kong.

Tiga mangsa diselamatkan setakat jam 3 petang waktu tempatan (0700 GMT) dan dibawa ke hospital untuk rawatan, kata pihak berkuasa.

Rakaman dramatik yang disediakan oleh pihak berkuasa Hong Kong menunjukkan seorang individu dinaikkan ke helikopter, manakala ombak menghempas geladak kapal yang separuh tenggelam.

Menurut kenyataan kerajaan, tiga mangsa yang terselamat memaklumkan, anak kapal lain mungkin dihanyutkan ombak sebelum helikopter pertama tiba.

Taufan Chaba sebelum ini terbentuk di bahagian tengah Laut China Selatan dan petang tadi ia melanda wilayah Guangdong, dekat selatan China.

Pasukan penyelamat di Hong Kong dimaklumkan mengenai tragedi itu pada jam 7.25 pagi waktu tempatan semalam dan menemui kapal itu berhampiran pusat Chaba, dalam keadaan cuaca buruk.

Selain itu, disebabkan terdapat tiupan angin kencang di kawasan itu, operasi SAR menjadi 'lebih sukar lagi berbahaya'.

Pihak berkuasa berkata, lokasi kapal itu merekodkan kelajuan angin 144 kilometer sejam (km/j) dan ombak setinggi 10 meter.

Perkhidmatan Penerbangan Kerajaan menghantar dua kumpulan pesawat dan empat kumpulan helikopter, dengan pihak berkuasa tanah besar China turut menghantar bot penyelamat.

Pasukan penyelamat berkata, mereka akan memperluaskan kawasan pencarian, dengan mengambil kira 'bilangan individu yang hilang masih ramai' dan dijangka turut melanjutkan operasi sehingga malam jika keadaan mengizinkan. - AFP

Berita Harian X