Jumaat, 1 Julai 2022 | 6:02pm
Pemimpin tertinggi Taliban Haibatullah Akhundzada. - Foto AFP
Pemimpin tertinggi Taliban Haibatullah Akhundzada. - Foto AFP

Pemimpin tertinggi Taliban hadir mesyuarat ulama Afghanistan

KABUL: Pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada muncul hari ini pada perhimpunan besar ulama di ibu negaranya, di sini dan menggesa supaya pemerintahan kumpulan pemberontak itu diterima.

Akhundzada yang tidak pernah dilihat muncul di khalayak ramai sama ada menerusi foto atau video sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos lalu dijadualkan berucap pada perhimpunan itu nanti, kata jurucakap kerajaan, Bilal Karimi menerusi ciapan di Twitter.

Ketibaan beliau yang disiarkan di radio rasmi negara itu disambut dengan sorakan dan laungan termasuk 'Hidup Emiriah Islam Afghanistan', iaitu nama Taliban untuk negara itu.

Lebih 3,000 ulama dan penduduk kebanyakannya warga emas berkumpul di Kabul sejak semalam untuk menghadiri mesyuarat selama tiga hari itu dan kemunculan Akhundzada telah dilaporkan beberapa hari sebelumnya, walaupun media dilarang membuat liputan bagi acara berkenaan.

Pemimpin Taliban itu jarang meninggalkan Kandahar, tempat kelahiran dan pusat pemerintahan Taliban dengan jejaknya hanya dikesan melalui satu gambar tanpa tarikh dan beberapa rakaman audio ucapan, dengan hampir tiada penemuan dalam bentuk digital.

Bagaimanapun, kumpulan penganalisis berkata, Akhundzada dipercayai berusia 70-an, dan digelar 'Komander Orang Beriman'.

Kemunculan Akhundzada berlaku seminggu selepas gempa bumi kuat melanda timur negara itu, sehingga mengorbankan lebih 1,000 orang dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal.

Mesyuarat ulama itu tidak disertai golongan wanita tetapi sumber Taliban memberitahu AFP minggu ini, isu kontroversi seperti pendidikan kanak-kanak perempuan yang mengundang perbezaan pandangan, akan dibincangkan.

Sejak Taliban menguasai semula Afghanistan, pelajar wanita di peringkat sekolah menengah telah dihalang daripada meneruskan pendidikan.

Selain itu, mereka turut diberhentikan daripada jawatan kerajaan, dilarang mengembara bersendirian, dan diperintahkan untuk memakai pakaian yang menutupi keseluruhan badan kecuali muka.

Mereka juga mengharamkan penyiaran muzik bukan berasaskan agama, penggunaan figura manusia dalam pengiklanan, mengarahkan saluran televisyen berhenti menayangkan filem dan opera yang menampilkan wanita tidak bertudung, selain penduduk lelaki diminta mengenakan pakaian tradisional serta memanjangkan janggut. - AFP

Berita Harian X