Jumaat, 1 Julai 2022 | 11:22am
Gambar fail menunjukkan jalan yang terjejas akibat banjir selepas hujan lebat di wilayah Shaoguan di Guangdong, selatan China. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan jalan yang terjejas akibat banjir selepas hujan lebat di wilayah Shaoguan di Guangdong, selatan China. - Foto AFP

Ribut tropika Chaba dijangka hentam selatan China

BEIJING: Ramalan Kaji Cuaca Hong Kong mengeluarkan amaran taufan lewat semalam susulan ketibaan Ribut Tropika Chaba, dengan tiupan angin dijangka menghentam Selatan China.

Bencana alam terbaru itu dikhuatiri menyebabkan lebih banyak kerosakan di kawasan pedalaman yang masih dilanda ribut hujan sejak berminggu lamanya.

Ribut tropika pertama pada tahun ini melanda Hong Kong pada siang hari ketika Presiden China, Xi Jinping, tiba di tanah bekas jajahan British itu untuk meraikan ulang tahun 25 tahun ia kembali kepada pemerintahan China.

Pada jam 11 ​​malam waktu tempatan, Balai Cerap Hong Kong berkata ribut tropika Chaba dianggarkan berada kira-kira 570 kilometer (km) ke selatan Hong Kong .

Ia diramalkan bergerak dari utara ke barat laut pada kelajuan sekitar 18 kilometer sejam (km/j) secara umumnya ke arah pantai barat Guangdong.

Balai cerap mengeluarkan Isyarat Angin Kencang No. 3 - meningkat daripada amaran terendahnya - bermakna angin dengan kelajuan purata 41 hingga 62 km/j dijangka berlaku sehingga menjelang tengah hari ini.

"Pastikan objek yang mungkin diterbangkan diikat dengan selamat atau dibawa ke dalam rumah. Jauhi pantai dan jangan terbabit dalam sukan air," kata balai cerap di laman sesawangnya.

Ia juga memaklumkan akan memantau dengan teliti pergerakan Chaba dan perubahan angin tempatan.

Tambahnya lagi, ketika Chaba beransur-ansur menghampiri pantai barat Guangdong, angin tempatan secara beransur-ansur semakin kuat.

Wilayah pesisir pantai Guangdong, negari yang paling ramai penduduknya dengan kira-kira 126 juta orang, dibanjiri hujan bulan lalu menyebabkan banjir sewaktu ribut petir musim panas melanda lebih awal di selatan China.

Terdahulu, Pejabat Am Pertahanan Negara mengeluarkan maklum balas kecemasan tahap 4 dan menghantar dua kumpulan kerja ke Guangdong dan wilayah Guangxi bagi membantu serta membimbing kerja pencegahan taufan, menurut media rasmi China.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan di wilayah Hainan China pada hari ini mengumumkan penutupan tiga pelabuhan ketika ribut tropika Chaba bergerak menuju ke pulau selatan.

Dalam satu kenyataan rasmi, pihak berkuasa pengangkutan dan perkapalan di ibu kota wilayah Haikou berkata, pelabuhan Haikou Xiuying, Pelabuhan Xinhai dan Pelabuhan Selatan Kereta Api akan ditutup mulai 1 Julai dan dijangka dibuka semula pada 4 Julai. - AGENSI

Berita Harian X