Khamis, 30 Jun 2022 | 12:48pm
Sukarelawan di Kabul, Afghanistan mengumpul dana bagi membantu mangsa gempa bumi. - Foto EPA
Sukarelawan di Kabul, Afghanistan mengumpul dana bagi membantu mangsa gempa bumi. - Foto EPA

Taliban, AS bincang guna dana rizab kewangan dibekukan

DOHA: Amerika Syarikat (AS) dan Taliban Afghanistan akan berbincang di sini, bagi mencadangkan supaya dana rizab kewangan yang dibekukan sebelum ini dapat dikeluarkan bagi membantu rakyat negara itu yang dilanda gempa bumi minggu lalu.

Rumah Putih menjelaskan sedang 'menyegerakan' usaha itu, tetapi Ahli Lembaga Bank Pusat Afghanistan berkata ia mungkin mengambil masa untuk dimuktamadkan.

Menteri Luar Taliban, Amir Khan Muttaqi bersama Kementerian Kewangan dan pegawai Bank Pusat Afghanistan tiba di Doha untuk menyertai perbincangan, kata jurucakap Kementerian Luarnya, Hafiz Zia Ahmed.

Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, utusannya di Afghanistan, Tom West akan menyertainya selain menjelaskan republik itu memberi tumpuan kepada pelbagai kepentingan termasuk hak asasi manusia dan membuka sekolah untuk wanita.

"Tiada satu pun daripada libat urus ini harus dilihat sebagai 'menghalalkan' Taliban tetapi hanyalah gambaran realiti kita perlu mengadakan perbincangan sedemikian untuk memajukan kepentingan AS," katanya.

Taliban mengambil alih Afghanistan selepas AS melepaskan usaha ketenteraan selama 20 tahun, pada Ogos tahun lalu.

Washington ketika itu membekukan rizab dana kewangan berjumlah AS$7 bilion (RM30.82 bilion) dan masyarakat antarabangsa menghentikan bantuan langsung kepada Afghanistan dan penduduknya, dipercayai kira-kira 40 juta orang.

Minggu lalu, lebih 1,000 penduduk di timur Afghanistan terkorban akibat gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter.

Gempa itu disifatkan paling dahsyat sejak 2002, melanda kira-kira 44 kilometer (km) dari tenggara bandar Khost, berhampiran sempadan dengan Pakistan.

Kebanyakan kematian yang disahkan adalah di daerah Barmal, Ziruk, Naka dan Gayan di wilayah Paktika, daerah paling terjejas di wilayah timur negara itu. - AFP

Berita Harian X