Rabu, 29 Jun 2022 | 4:15pm
Orang ramai mengibarkan bendera China dan Hong Kong semasa acara sambutan ulang tahun ke-25 penyerahan Hong Kong kepada China daripada Britain, di Hong Kong. - Foto REUTERS
Orang ramai mengibarkan bendera China dan Hong Kong semasa acara sambutan ulang tahun ke-25 penyerahan Hong Kong kepada China daripada Britain, di Hong Kong. - Foto REUTERS

Beberapa media tidak dibenarkan buat liputan acara di Hong Kong

HONG KONG: Petugas media daripada lebih tujuh organisasi, termasuk Reuters, tidak dibenarkan membuat liputan upacara rasmi ulang tahun ke-25 penyerahan Hong Kong daripada pemerintahan British kepada China yang sepatutnya dihadiri oleh Presiden Xi Jinping.

Menurut jurucakap kerajaan Hong Kong, kerajaan perlu menyeimbangkan sebaik mungkin antara keperluan bagi liputan media dan keperluan keselamatan.

"Kita tidak akan mengulas mengenai pentauliahan diberikan terhadap organisasi atau individu," katanya tanpa mengulas lanjut.

Sementara itu, menurut Persatuan Wartawan Hong Kong, sekurang-kurangnya 10 wartawan daripada tujuh organisasi media tempatan dan luar negara dihalang daripada menghadiri majlis itu hari ini.

Organisasi itu menamakan South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong, Hong Kong 01, Now TV dan Ming Pao serta Agence France-Presse sebagai antara yang dilarang.

Enam sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu memberitahu Reuters bahawa petugas media di Bloomberg, penyiar awam RTHK, dan Ta Kung Pao yang disokong kerajaan juga tidak dibenarkan membuat liputan.

Selain itu, The South China Morning Post melaporkan bahawa seorang jurugambar dari Jabatan Perkhidmatan Maklumat (ISD) kerajaan juga dilarang membuat liputan.

Kelapan-lapan organisasi media itu bagaimanapun enggan memberikan komen.

Reuters bagaimanapun tidak mempunyai maklumat berhubung media yang dibenarkan membuat liputan acara berkenaan.

Jurucakap Reuters mengesahkan bahawa dua petugas media daripada agensi berita itu dihalang daripada membuat liputan majlis penyerahan dan pelantikan John Lee.

Sekatan terhadap petugas media itu berlaku ketika pasukan polis di hab kewangan global berkenaan menjalankan operasi keselamatan yang meluas untuk lawatan Jinping, iaitu yang pertama kali pemimpin itu ke luar tanah besar China dalam tempoh lebih dua tahun di tengah-tengah wabak COVID-19.

Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh ke atas bandar itu berikutan protes ganas antikerajaan pada 2019, mencetuskan kritikan antarabangsa bahawa kebebasan yang dijanjikan kepada bandar berkenaan semakin hilang. - REUTERS

Berita Harian X