Sabtu, 25 Jun 2022 | 3:25pm
Pemimpin China Xi Jinping. - Foto AGENSI
Pemimpin China Xi Jinping. - Foto AGENSI

Pemimpin China Xi Jinping hadiri sambutan penyerahan Hong Kong

BEIJING: Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri acara untuk meraikan 25 tahun sejak penyerahan Hong Kong kepada China, lapor media kerajaan hari ini, dengan Parti Komunis ingin mempamerkan kawalannya ke atas bandar itu selepas menghancurkan gerakan demokrasi.

Jika Jinping hadir, lawatan itu akan menjadi yang pertama di luar tanah besar China sejak pandemik COVID-19 bermula.

Namun, media kerajaan dan pegawai Hong Kong tidak menyatakan secara jelas sama ada beliau akan pergi ke bandar atau menghadiri secara maya.

Kunjungan itu juga akan bertepatan dengan perasmian pentadbiran baharu Hong Kong, yang diketuai oleh bekas ketua keselamatan, John Lee.

Parti Komunis China amat mementingkan ulang tahun, dan penyerahan Hong Kong memberi Jinping peluang untuk menekankan kuasa China ke atas Hong Kong selepas tiga tahun pergolakan politik di sana.

Hong Kong berada di titik pertengahan model politik 'Satu Negara, Dua Sistem', yang menjanjikan bahawa cara hidup bekas jajahan British itu akan kekal tidak berubah selama 50 tahun selepas penyerahannya.

Namun, undang-undang keselamatan negara yang dikenakan selepas protes prodemokrasi yang besar dan sering ganas pada 2019 telah menyaksikan perbezaan pendapat dibatalkan, dengan berpuluh-puluh tokoh pembangkang ditangkap dalam tindakan keras politik yang berterusan.

Kerajaan Hong Kong baharu, yang akan mengangkat sumpah pada 1 Julai, akan diketuai oleh Lee, yang menyelia tindak balas polis yang kontroversi terhadap protes demokrasi.

Lee hari ini berkata, beliau gembira dengan berita kehadiran Jinping dan berterima kasih kepada pemimpin China itu atas 'keprihatinan dan sokongan' beliau terhadap Hong Kong.

"Hong Kong berada di peringkat penting untuk maju daripada huru-hara kepada tadbir urus, dan secara beransur-ansur ke arah kemakmuran," kata Lee dalam satu kenyataan.

Kali terakhir Jinping melawat Hong Kong pada 2017 untuk majlis angkat sumpah pemimpin bandar itu, Carrie Lam, perjalanan tiga hari yang ditandai dengan kehadiran polis awam yang ramai.

Pemimpin tertinggi China telah menghadiri majlis angkat sumpah setiap ketua eksekutif Hong Kong sejak penyerahan tahun 1997, tetapi Jinping tidak meninggalkan tanah besar sejak Januari 2020, apabila COVID-19 pertama kali muncul dari bandar Wuhan di tengah China. - AFP

Berita Harian X