Jumaat, 24 Jun 2022 | 11:44am
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata beliau akan bertemu dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, minggu depan di Paris. - Foto EPA-EFE
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata beliau akan bertemu dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, minggu depan di Paris. - Foto EPA-EFE

Hubungan dengan Perancis perlu 'diperbaharui semula' - PM Australia

SYDNEY: Perdana menteri baharu Australia, Anthony Albanese, berkata hubungan dengan Perancis perlu 'diperbaharui semula' selepas pertikaian buruk berhubung kontrak kapal selam berbilion dolar yang dibatalkan.

"Adalah penting untuk memperbaharui semula hubungan itu," kata Albanese kepada penyiar nasional ABC dalam temu bual pada malam tadi.

"Perancis, sudah tentu, adalah pusat kuasa di Eropah tetapi ia juga kuasa utama di Pasifik."

Pemimpin Australia itu berkata, beliau akan bertemu dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron minggu depan di Paris, pertemuan pertama mereka sejak pilihan raya Australia pada Mei yang menyaksikan parti Buruh berhaluan tengah Albanese mengambil alih kuasa.

Hubungan antara kedua-dua negara renggang tahun lalu apabila Australia membatalkan kontrak kapal selam dengan Perancis untuk menyertai perkongsian AUKUS dengan Amerika Syarikat (AS) dan Britain.

Pegawai Perancis berkata, mereka hanya mengetahui mengenai AUKUS daripada laporan media dan kemarahan yang meningkat menyebabkan Macron melabel pendahulu Alban, Scott Morrison sebagai pembohong.

Albanese memberitahu ABC bahawa untuk menebus perjanjian kapal selam yang dibatalkan, Australia boleh menawarkan 'hubungan antara pemimpin masing-masing yang tidak akan dibocorkan untuk mejadi tajuk utama berita dalam akhbar'.

Komen-komen itu dilihat sebagai meleret terhadap bekas kerajaan Australia berhubung mesej teks antara Perdana Menteri Morrison dan Macron yang dibocorkan kepada akhbar tempatan - kononnya untuk membuktikan orang Perancis mengetahui mengenai AUKUS.

Australia baru-baru ini menyelesaikan perjanjian pampasan 555 juta euro (2.57 bilion) dengan syarikat Perancis, Naval Group berhubung kapal selam yang dibatalkan itu - menjadikan jumlah kos program terbatal itu kepada AS$2.3 bilion (RM10.13 bilion). - AFP

Berita Harian X