Isnin, 20 Jun 2022 | 9:09pm
Serangan itu menyasarkan pasar yang sibuk di timur wilayah Nangarhar. - Foto AFP
Serangan itu menyasarkan pasar yang sibuk di timur wilayah Nangarhar. - Foto AFP

Berpuluh terbunuh dalam serangan di pasar Nangarhar - PBB

KABUL: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Afghanistan melaporkan berpuluh-puluh orang terbunuh dan cedera dalam serangan ke atas pasar di wilayah timur Nangarhar hari ini, namun pegawai Taliban berkata mereka hanya boleh mengesahkan 10 orang telah cedera.

"Misi Bantuan PBB di Afghanistan (UNAMA) mengecam serangan pagi ini di bazar yang sesak di wilayah Nangarhar yang membunuh dan mencederakan ramai orang awam antaranya beberapa kanak-kanak.

"Serangan berterusan yang menyasarkan orang awam di seluruh Afghanistan mesti dihentikan serta-merta," kata UNAMA dalam akaun Twitternya.

Ketua media dan maklumat pentadbiran Taliban untuk Nangarhar, Quriashi Badloun, mengesahkan letupan berlaku tetapi berkata, sasarannya tidak jelas.

"Kami mengesahkan 10 kecederaan, kami tidak mengesahkan kematian," kata Badloun.

Sejak mengambil alih kuasa pada Ogos, Taliban berkata, mereka meningkatkan keselamatan di Afghanistan dan menyingkirkan negara itu daripada ancaman militan walaupun pegawai antarabangsa dan penganalisis berkata, risiko kebangkitan semula militan masih kekal.

Kumpulan militan Daesh turut mendakwa beberapa serangan dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Letupan maut berlaku di negara itu setiap hari sejak Jumaat, termasuk satu di kuil Sikh di ibu negara Kabul dan ia mencetuskan kebimbangan antarabangsa keganasan di Afghanistan. - REUTERS

Berita Harian X