Ahad, 19 Jun 2022 | 8:58pm
Barisan Kabinet baharu Hong Kong yang akan memulakan tugas 1 Julai ini bergambar di ibu pejabat kerajaan pusat di Hong Kong. - Foto AFP
Barisan Kabinet baharu Hong Kong yang akan memulakan tugas 1 Julai ini bergambar di ibu pejabat kerajaan pusat di Hong Kong. - Foto AFP

Kabinet baharu Hong Kong termasuk 4 pemimpin dikenakan sekatan AS

BEIJING: China hari ini melantik anggota pentadbiran baharu Hong Kong, termasuk empat pegawai kanan dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), yang dikecam pemimpinnya sebagai cubaan untuk 'membuli' China.

AS mengenakan sekatan ke atas 11 pegawai Hong Kong dan Beijing dua tahun lalu selepas undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh dikuatkuasa bagi menghapuskan perbezaan pendapat di bandar separa autonomi itu.

Ia dilakukan selepas protes demokrasi besar-besaran yang turut membabitkan keganasan pada 2019.

Tujuh pegawai itu adalah anggota kerajaan Hong Kong termasuk empat yang akan terus berkhidmat dalam Kabinet baharu iaitu bakal ketua, John Lee; Menteri Keselamatan, Chris Tang; Menteri Hal Ehwal Tanah Besar, Erick Tsang dan Ketua Setiausaha Pentadbiran yang baru dilantik, Eric Chan.

Tiga lagi yang dikenakan sekatan ialah ketua polis bersara, Steven Lo; pemimpin bandar, Carrie Lam dan Setiausaha Kehakiman, Teresa Cheng, yang kini digantikan.

Di bawah sekatan itu, Lam berkata beliau terpaksa menerima gajinya secara tunai kerana sekatan perbankan.

Ketika memperkenalkan Kabinet barunya kepada pemberita hari ini, Lee berkata beliau 'memandang sinis' terhadap apa yang dipanggil sekatan dan tidak memberi perhatian kepada perkara itu.

"Sesetengah negara pembuli cuba menakut-nakutkan pegawai (Hong Kong) dengan langkah seperti sekatan, terutama selepas rancangan mereka untuk mensabotaj keselamatan negara kita gagal kerana langkah yang kita gunakan.

"Ini menjadikan kita lebih berazam untuk terus melaksanakan tugas kami mempertahankan keselamatan negara," katanya.

Pelantikan 26 pegawai utama hari ini dibuat kurang dua minggu sebelum kerajaan baharu memegang jawatan pada 1 Julai, ulang tahun ke-25 pemindahan Hong Kong daripada pemerintahan British kepada China, menuju ke arah model politik 'Satu Negara, Dua Sistem'.

Walaupun spekulasi meluas mengatakan Presiden China, Xi Jinping akan melawat Hong Kong bagi sambutan ulang tahun itu, yang akan menjadi pengesahan simbolik pentadbiran baharu Lee, lawatan itu masih belum disahkan. - AFP

Berita Harian X