Khamis, 16 Jun 2022 | 8:02am
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah, Ursula von der Leyen mengadakan sidang media bersama di Istana Presiden di Kaherah. - Foto AFP
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah, Ursula von der Leyen mengadakan sidang media bersama di Istana Presiden di Kaherah. - Foto AFP

Perjanjian gas EU, Mesir, Israel tamatkan kebergantungan Russia

KAHERAH: Israel dan Mesir merancang meningkatkan eksport gas ke Eropah di bawah perjanjian yang ditandatangani ketika lawatan Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU), Ursula von der Leyen ke Kaherah pada Rabu.

Keputusan berkenaan diambil ketika blok itu berusaha untuk membebaskan diri daripada kebergantungan terhadap gas Russia.

Von der Leyen juga menjanjikan bantuan bernilai 100 juta euro (RM461 juta) untuk keselamatan makanan di Mesir, yang mengalami masalah kekurangan bijirin akibat perang Ukraine.

"Perang Russia-Ukraine sudah mendedahkan kebergantungan Eropah kepada bahan api fosil Russia dan kami mahu menamatkan kebergantungan ini," katanya pada sidang media bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.

"Kami mahu mempelbagaikan pembekalan yang boleh dipercayai, dan Mesir ialah rakan kongsi yang boleh dipercayai," katanya.

Beliau juga berikrar pada Selasa, ketika lawatan ke Israel, untuk berdepan dengan Russia yang mengugut negara Eropah ekoran penggunaan bahan api fosilnya.

Kementerian Petroleum Mesir, memaklumkan memorandum persefahaman (MoU) mengenai eksport gas antara Mesir, Israel dan EU ditandatangani di Forum Gas Mediterranean Timur.

Di bawah perjanjian bernilai AS$15 bilion (RM66 bilion) pada 2020, Israel sudah mengeksport gas dari medan luar pesisir ke Mesir, yang mana ia kemudian dicairkan dan dihantar ke negara Eropah.

Namun peningkatan ketara dalam eksport gas dari Israel melalui Mesir akan memerlukan pelaburan infrastruktur jangka panjang yang besar.

Von der Leyen juga berkata, Mesir mempunyai kuasa matahari dan angin serta memiliki tenaga masa depan yang banyak serta usaha EU dan Mesir untuk menerokanya adalah demi kepentingan bersama.

Von der Leyen berjanji meluluskan serta-merta sebanyak 100 juta euro (RM461 juta) bagi menyokong keselamatan makanan di Mesir, negara paling ramai penduduk di dunia Arab, yang bergantung kepada Russia dan Ukraine untuk lebih 80 peratus gandumnya.

"Adalah sangat penting di sini kita berdiri bersama-sama, secara global, untuk menguruskan krisis keselamatan makanan ini.

"Kita mencari penyelesaian adil untuk semua orang. Kita melihat pengagihan bijirin, sebagai contoh, di seluruh dunia, bahawa kita benar-benar mempunyai penekanan kepada negara yang terkesan," katanya.

Von der Leyen juga menjanjikan tiga bilion euro (RM13.8 bilion) dalam program pertanian dan pemakanan, air dan sanitasi sepanjang tahun di rantau ini.

"EU sangat berminat untuk melabur dalam pengeluaran makanan tempatan. Adalah sangat penting bagi kami di rantau ini, pengeluaran makanan dipertingkatkan sekali gus kebergantungan dari wilayah lain dikurangkan.

"Dari semasa ke semasa, ini akan memastikan bekalan makanan berkualiti dan mampu milik yang stabil untuk semua. Mesir akan menjadi nadi kepada peralihan utama ini," katanya.

Sementara itu, Al-Sisi berkata, lawatan rasmi pertama Von der Leyen dibina berdasarkan momentum sengit baru-baru ini mengenai hubungan Mesir dengan EU.

Ketika lawatannya ke Israel, Von der Leyen menuduh Moscow sengaja menyekat gas yang dibekalkan ke negara-negara Eropah sebagai balasan atas sokongan mereka kepada Ukraine.

"Ini satu langkah ke hadapan yang besar dalam membekalkan tenaga ke Eropah, selain Mesir sendiri untuk menjadi hab tenaga serantau," katanya di Kaherah. - AFP.

Berita Harian X