Khamis, 2 Jun 2022 | 4:50pm
Menteri Luar China, Wang Yi, semasa lawatannya ke ibu kota Vanuatu, Port Vila, pada 1 Jun. Beliau tiba di Papua New Guinea hari ini sebagai sebahagian daripada lawatannya ke lapan negara pulau Pasifik. - Foto AFP
Menteri Luar China, Wang Yi, semasa lawatannya ke ibu kota Vanuatu, Port Vila, pada 1 Jun. Beliau tiba di Papua New Guinea hari ini sebagai sebahagian daripada lawatannya ke lapan negara pulau Pasifik. - Foto AFP

Menteri Luar China lawat PNG walau dibantah

SYDNEY: Menteri Luar China, Wang Yi tiba di Papua New Guinea (PNG) hari ini walaupun mendapat bantahan pemimpin negara itu.

Ketegangan kini memuncak di PNG susulan pilihan raya kebangsaan dan pegawai memberitahu media cadangan Beijing untuk pakatan keselamatan serantau menimbulkan kemarahan.

Lawatan Yi juga dikritik bekas Perdana Menteri PNG, Peter O'Neill, yang berkempen bagi jawatan tertinggi, dalam satu siri wawancara media di mana beliau berkata, tiada perjanjian harus ditandatangani dengan China sebelum pilihan raya.

Akhbar Post Courier hari ini memetik O'Neill sebagai berkata, 'tidak wajar' untuk China menderma peralatan keselamatan atau menawarkan sokongan keselamatan bagi pilihan raya, selepas penyiar Australia ABC melaporkan Beijing menawarkan 2,000 kit perisai badan kepada polis semasa lawatan Yi.

Yi sedang melawat lapan negara kepulauan Pasifik di mana beliau menandatangani beberapa siri perjanjian perdagangan dua hala, perikanan, infrastruktur dan bekalan peralatan polis.

Isnin lalu, mesyuarat maya dihoskan Yi di Fiji dengan rakan sejawat dari 10 negara pulau, menangguhkan pertimbangan perjanjian serantau menyeluruh merangkumi kepolisan, keselamatan, perikanan, data dan zon perdagangan bebas, dicadangkan China.

Amerika Syarikat dan sekutunya menyatakan kebimbangan mengenai cita-cita Beijing bagi hubungan keselamatan dengan negara kepulauan Pasifik yang mengawal kawasan lautan luas yang kaya dengan sumber dan akses ke wilayah mempunyai kepentingan ketenteraan strategik.

Beberapa negara Pasifik berkata, mereka menentang perjanjian itu atau memerlukan lebih banyak masa untuk mempertimbangkan implikasi serantaunya.

Setiausaha Hal Ehwal Luar PNG, Elias Wohengu seperti dipetik akhbar Post Courier berkata, terdapat kemarahan terhadap Perjanjian Pasifik mengenai isu keselamatan. Dia menunjukkan Papua New Guinea seolah-olah tidak mungkin menandatangani perjanjian keselamatan, selain menjelaskan akan menangani sendiri status keselamatan PNG.

PNG mempunyai hubungan pertahanan dengan jirannya Australia, yang bersetuju untuk menaik taraf pangkalan tentera laut di sana, selain sudah melonjakkan jualan ke China bagi projek gas asli cecair (LNG).

Yi akan bertemu dengan rakan sejawatannya Soroi Eoe esok, dan mengadakan kunjungan hormat ringkas ke atas Perdana Menteri James Marape, selain dijangka menandatangani perjanjian pelaburan dan tenaga, lapor Post Courier.

Menteri Luar Australia, Penny Wong tiba di Samoa, hari ini, dan akan melawat Tonga esok, beberapa hari selepas Yi melawat kedua-dua negara. - REUTERS

Berita Harian X