Isnin, 30 Mei 2022 | 5:23pm
Menteri Luar China, Wang Yi (kiri) sebelum ini berkata Beijing bersedia bekerjasama dengan kuasa besar lain di rantau Pasifik untuk membantu negara kepulauan membangun. - Foto AFP
Menteri Luar China, Wang Yi (kiri) sebelum ini berkata Beijing bersedia bekerjasama dengan kuasa besar lain di rantau Pasifik untuk membantu negara kepulauan membangun. - Foto AFP

China gagal meterai pakatan keselamatan dengan negara Pasifik

SUVA, FIJI: Rundingan antara Menteri Luar China, Wang Yi bersama 10 negara Pulau Pasifik, gagal mencapai persetujuan berhubung perjanjian keselamatan yang meluas yang berlangsung hari ini, selepas amaran keras cadangan itu akan mendorong wilayah itu ke 'orbit Beijing'.

Sidang kemuncak secara maya pemimpin dan menteri luar dijangka membincangkan cadangan untuk meningkatkan pembabitan China secara radikal dalam keselamatan, ekonomi dan politik Pasifik Selatan.

Tetapi usaha itu nampaknya gagal selepas beberapa pemimpin wilayah menyuarakan kebimbangan mendalam.

"Seperti selalunya, kami mengutamakan konsensus," kata pengerusi bersama dan Perdana Menteri, Fiji Frank Bainimarama selepas mesyuarat itu, sekali gus menunjukkan persetujuan secara kolektif diperlukan sebelum menandatangani sebarang 'perjanjian serantau baharu'.

Yi berada di ibu negara Fiji, Suva sebagai sebahagian daripada serangan intensif diplomatik selama 10 hari, ketika Beijing bergelut dengan Washington dan sekutunya berhubung pengaruh di Pasifik secara strategik yang penting.

Menjelang lawatannya, China mencadangkan pakatan yang akan menyaksikan Beijing melatih polis Pulau Pasifik, terbabit dalam keselamatan siber, mengembangkan hubungan politik, menjalankan pemetaan marin yang sensitif dan mendapat akses yang lebih besar kepada sumber asli di darat dan lautan.

Sebagai tarikan, Beijing menawarkan berjuta-juta dolar dalam bentuk bantuan kewangan, prospek perjanjian perdagangan bebas Kepulauan China-Pasifik dan akses kepada pasaran luas China yang berjumlah 1.4 bilion orang.

China juga meletakkan negaranya di Pasifik Selatan sebagai 'negara membangun utama' yang berganding bahu dengan negara kecil dan sederhana.

Sebelum pertemuan itu, Presiden Xi Jinping menghantar mesej China akan menjadi 'saudara yang baik' kepada wilayah itu dan mereka berkongsi 'takdir bersama', menurut penyiar CCTV negeri.

Tetapi dalam surat kepada pemimpin serantau yang lain, Presiden Negara Bersekutu Micronesia, David Panuelo memberi amaran bahawa perjanjian yang dicadangkan itu 'tidak jujur' dan akan 'memastikan pengaruh China dalam kerajaan' dan 'kawalan ekonomi' industri utama.

Selepas mesyuarat tertutup hari ini, Yi tidak menyebut secara langsung dokumen 'Visi Pembangunan Bersama', tetapi mengatakan kedua-dua pihak akan 'mengadakan perbincangan dan perundingan berterusan dan mendalam untuk membentuk lebih banyak konsensus mengenai kerjasama'.

Yi, sebaliknya mengumumkan 10 negara Pulau Pasifik sudah bersetuju dengan memorandum persefahaman mengenai inisiatif infrastruktur 'Belt and Road' China dan menggesa mereka yang bimbang dengan niat Beijing tidak 'terlalu cemas dan gementar'.

Kuasa Barat sebelum ini menentang langkah China ke rantau itu dengan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada negara di Pasifik Selatan supaya berhati-hati dengan 'urusan yang samar-samar serta hanya sedikit telus'.

Australia menyertai AS menggesa menolak percubaan China untuk meluaskan capaian keselamatannya jauh ke rantau ini, dengan menteri luarnya yang baharu memberi amaran mengenai 'akibat' daripada perjanjian itu. - AFP

Berita Harian X