Sabtu, 28 Mei 2022 | 3:26pm
Menteri luar China Wang Yi (kanan) dan Perdana Menteri Samoa, Fiame Naomi Mataafa bertemu di Apia. - Foto FACEBOOK/Kerajaan Samoa
Menteri luar China Wang Yi (kanan) dan Perdana Menteri Samoa, Fiame Naomi Mataafa bertemu di Apia. - Foto FACEBOOK/Kerajaan Samoa

Samoa meterai perjanjian dengan China

APIA, SAMOA: Samoa menandatangani perjanjian dua hala bagi kerjasama lebih besar dengan China ketika Menteri Luar Beijing meneruskan lawatan ke Pasifik Selatan yang telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu Barat.

Butiran perjanjian itu tidak jelas, tetapi draf perjanjian yang bocor sebelum ini dihantar ke beberapa negara Pasifik menggariskan rancangan untuk memperluaskan pembabitan dalam keselamatan dan ekonomi.

Misi itu mendorong pemimpin Barat menggesa rakan serantau untuk menolak sebarang percubaan China meluaskan capaian keselamatannya ke seluruh rantau itu.

Siaran akhbar daripada kerajaan Samoa mengesahkan bahawa Menteri Luar China, Wang Yi dan Perdana Menteri Samoa, Fiame Naomi Mata'afa telah bertemu dan membincangkan perubahan iklim, wabak dan keamanan serta keselamatan.

Menurut kenyataan akhbar, China akan terus menyediakan sokongan pembangunan infrastruktur kepada pelbagai sektor Samoa dan merangka kerja baharu untuk projek masa depan yang akan ditentukan dan dipersetujui bersama.

"Samoa dan Republik Rakyat China akan meneruskan kerjasama lebih besar yang akan menyampaikan kepentingan dan komitmen bersama," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam usaha untuk mendapatkan pengaruh, Menteri Luar Australia, Penny Wong, berusaha untuk memikat negara pulau selepas Kepulauan Solomon mengejutkan Canberra bulan lalu dengan menandatangani pakatan keselamatan yang meluas dengan China.

"Kami telah menyatakan kebimbangan secara terbuka mengenai perjanjian keselamatan.

"Sebagaimana juga pulau-pulau Pasifik yang lain, kami fikir ada akibatnya dan berpendapat bahawa keselamatan wilayah itu penting untuk ditentukan oleh rantau ini," katanya yang berada di Fiji sejak semalam.

Dalam satu surat kepada rakan-rakan pemimpin Pasifik, Presiden Negara Bersekutu Micronesia, David Panuelo memberi amaran bahawa perjanjian itu kelihatan menarik pada pandangan pertama tetapi akan membenarkan China untuk memperoleh akses dan kawalan wilayah mereka. - AFP

Berita Harian X