Jumaat, 27 Mei 2022 | 7:59pm
Kerajaan Afghanistan menganggap pematuhan hijab Islam adalah selaras dengan amalan agama dan budaya masyarakat. - Foto REUTERS
Kerajaan Afghanistan menganggap pematuhan hijab Islam adalah selaras dengan amalan agama dan budaya masyarakat. - Foto REUTERS

Taliban menolak kebimbangan PBB mengenai hak wanita di Afghanistan

KABUL: Taliban menolak gesaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk membatalkan sekatan berat ke atas wanita Afghanistan dengan anggapan kebimbangan mereka sebagai tidak berasas.

Kementerian Luar Afghanistan berkata, kerajaan menganggap kebimbangan Majlis Keselamatan sebagai tidak berasas dan mengesahkan komitmennya terhadap hak wanita Afghanistan.

"Memandangkan penduduk Afghanistan kebanyakannya beragama Islam, kerajaan Afghanistan menganggap pematuhan hijab Islam adalah selaras dengan amalan agama dan budaya masyarakat," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Majlis Keselamatan sebulat suara menerima pakai resolusi yang mengkritik Taliban kerana mengehadkan akses kanak-kanak perempuan dan wanita kepada pendidikan, pekerjaan awam dan kebebasan bergerak sejak merampas kuasa tahun lalu.

Malah, pemimpin tertinggi Afghanistan, Hibatullah Akhundzada yang mengarahkan wanita untuk menutup muka ketika berada di khalayak ramai, turut mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Ia juga menuntut agar semua sekolah dibuka kepada pelajar perempuan.

Sepanjang Taliban berkuasa antara tahun 1996 dan 2001, pelbagai pencabulan hak asasi manusia berlaku dan selepas merampas kembali, mereka menjanjikan peraturan lebih lembut kepada rakyat Afghanistan, tetapi sebaliknya.

Dalam dua dekad campur tangan tentera Amerika Syarikat (AS) selepas penyingkiran Taliban pada 2001, wanita dan gadis Afghanistan memperoleh hak mereka.

Wakil khas PBB mengenai hak asasi manusia di Afghanistan, Richard Bennett, berkata sekatan Taliban bertujuan menjadikan wanita "halimunan dalam masyarakat".

Tiada negara mengiktiraf kerajaan baru Taliban dan pihak berkuasa setakat ini gagal dalam usaha mereka untuk mengambil alih kerusi Afghanistan di badan dunia itu. - AFP

Berita Harian X