Khamis, 26 Mei 2022 | 9:21pm
Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di Afghanistan, Richard Bennett, pada sidang media di kabul selepas lawatan ke Afghanistan. - Foto REUTERS
Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia di Afghanistan, Richard Bennett, pada sidang media di kabul selepas lawatan ke Afghanistan. - Foto REUTERS

4 letupan bom korbankan 16 mangsa di Afghanistan

KABUL: Angka kematian susulan letupan empat bom ke atas bas mini dan sebuah masjid di Afghanistan meningkat kepada sekurang-kurangnya 16 mangsa, menurut maklumat rasmi hari ini, dengan beberapa serangan didakwa dilakukan kumpulan militan Daesh.

Seorang pakar terkemuka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Taliban menyiasat serangan semalam serta beberapa siri letupan maut sebelum ini yang menyasarkan anggota masyarakat minoriti Syiah dan Sufi.

Biarpun jumlah kes pengeboman menurun di seluruh negara sejak Taliban merampas kuasa pada Ogos, beberapa serangan maut yang menggegarkan negara itu tercetus ketika Ramadan bulan lalu.

Semalam, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh apabila tiga bom yang diletakkan pada bas mini berasingan meletup di bandar utara Mazar-i-Sharif, menurut seorang pegawai kesihatan dan polis.

Ketua Jabatan Kesihatan Balkh, Najibullah Tawana, berkata tiga wanita adalah antara 10 yang terbunuh dalam letupan itu.

Beberapa jam selepas letupan itu, kumpulan Daesh menerusi Telegram, berkata anggotanya bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Satu letupan bom lain turut berlaku di sebuah masjid di ibu negara Kabul, membunuh enam dan mencederakan 18 mangsa semalam, menurut jurucakap polis, Khalid Zadran.

Kementerian Dalam Negeri berkata bom itu diletakkan pada kipas di dalam masjid.

Puluhan orang awam terbunuh di Kabul dan bandar-bandar lain dalam serangan ketika Ramadan, dengan beberapa serangan didakwa dilakukan kumpulan militan.

Serangan itu kebanyakannya menyasarkan golongan minoriti Hazara dan Sufi Syiah.

Pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di Afghanistan, Richard Bennett, memberitahu serangan sedemikian mencerminkan unsur-unsur dasar pertubuhan dan seterusnya mengundang ciri jenayah terhadap kemanusiaan.

Bennett, ketika mengakhiri lawatannya ke Afghanistan, menggesa siasatan dilakukan selepas bertemu beberapa pegawai Taliban dan melawat tapak yang menjadi sasaran serangan baru-baru ini.

Pada 29 April lalu, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh di sebuah masjid Sunni di Kabul dalam serangan yang kelihatan menyasarkan ahli minoriti Sufi ketika mereka sedang melakukan upacara keagamaan.

Seminggu sebelum itu, letupan bom berlaku di masjid Syiah di Mazar-i-Sharif, membunuh sekurang-kurangnya 12 jemaah dan mencederakan ramai mangsa.

Serangan paling menggerunkan berlaku pada 22 April lalu di bandar utara Kunduz, di mana bom yang menyasarkan pengikut Sufi merosakkan sebuah masjid, menyebabkan 33 orang terbunuh dan ramai cedera akibat letupan yang berlaku. - AFP

Berita Harian X