Ahad, 22 Mei 2022 | 3:34pm
Dua wanita memakai burqa ketika bekerja di sebuah kilang pakaian di Kandahar, Afghanistan. - Foto AFP
Dua wanita memakai burqa ketika bekerja di sebuah kilang pakaian di Kandahar, Afghanistan. - Foto AFP

Penyampai wanita Afghan beralah, tutup wajah ketika ke udara

KABUL: Penyampai wanita di saluran berita terkemuka Afghanistan ke udara dengan memakai niqab, sehari selepas mengingkari arahan Taliban untuk menutup wajah mereka di televisyen.

Sejak rampasan kuasa tahun lalu, Taliban mengenakan pelbagai sekatan terhadap masyarakat awam terutama mengekang hak wanita dan kanak-kanak perempuan, untuk mematuhi Islam seperti yang ditekankan kumpulan itu.

Awal bulan ini, pemimpin agung Afghanistan, Hibatullah Akhundzada, mengeluarkan watikah untuk wanita tampil bertutup sepenuhnya di khalayak umum termasuk muka, dengan memakai burqa.

Kementerian Penggalakan Kebajikan dan Pencegahan Maksiat yang digeruni, memerintahkan penyampai televisyen wanita untuk mengikuti arahan itu bermula semalam.

Bagaimanapun, penyampai wanita di negara itu mengingkari arahan berkenaan pada hari pertama dan ke udara dengan menunjukkan wajah mereka.

Bagaimanapun, hari ini kesemua mereka mematuhi arahan itu, selepas diberi kata dua sama ada akur atau berhenti kerja manakala stesen siaran diarah ditutup.

Kesemua mereka yang bersiaran menerusi semua saluran utama seperti TOLOnews, Ariana Television, Shamshad TV dan 1TV, bertudung dan memakai niqab.

Menurut penyampai TOLOnews, Sonia Niazi, mereka tetap 'menentang dan membantah pemakaian penutup muka'.

"Namun TOLOnews menerima tekanan dan diberitahu bahawa mana-mana penyampai wanita yang ke udara tanpa menutup wajah mereka akan diberi tugasan lain atau dibuang kerja begitu saja.

Justeru, TOLOnews akur dengan arahan itu dan kami dipaksa memakainya, sebelum ini penyampai wanita hanya diarahkan untuk memakai tudung," katanya.

Jurucakap kementerian, Mohammad Akif Sadeq Mohajir, berkata pihak berkuasa tidak mempunyai perancangan untuk memaksa penyampai wanita berhenti kerja.

"Kami tiada niat untuk mengeluarkan mereka daripada kedudukan masing-masing, mengetepikan atau melucutkan hak mereka untuk bekerja.

"Kami gembira dengan saluran media yang melaksanakan tanggungjawab mereka secara baik," katanya.

Akhundzada turut mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa untuk memecat penjawat awam wanita sekiranya gagal mengikuti kod pemakaian baharu itu.

Penjawat awam lelaki juga berdepan risiko digantung sekiranya anak atau isteri mereka gagal mematuhi arahan berkenaan. - AFP

Berita Harian X