Sabtu, 21 Mei 2022 | 9:46pm
Gambar fail menunjukkan wanita Afghanistan menyertai protes membantah tindakan Taliban melaksanakan peraturan dan undang-undang yang semakin ketat mengongkong kebebasan mereka. - Foto REUTERS
Gambar fail menunjukkan wanita Afghanistan menyertai protes membantah tindakan Taliban melaksanakan peraturan dan undang-undang yang semakin ketat mengongkong kebebasan mereka. - Foto REUTERS

Wartawan wanita Afghanistan enggan tutup wajah ketika bersiaran

KABUL: Penyampai berita wanita stesen televisyen utama Afghanistan melanggar arahan Taliban dengan mengingkari peraturan menutup wajah mereka ketika bersiaran.

Stesen penyiaran TOLOnews, Shamshad TV dan 1TV bersiaran dengan penyampai wanitanya tidak memakai burqa.

"Rakan sekerja wanita kami bimbang jika kini mereka diarahkan menutup wajah, selepas itu mereka mungkin diarah untuk tidak bekerja pula.

"Sebab itu mereka tidak akur kepada arahan yang dikeluarkan," kata Ketua Berita Shamshad TV, Abid Ehsas.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Mempromosikan Nilai dan Pencegahan Maksiat, Mohammad Sadeq Akif Mohajir, berkata tindakan petugas wanita stesen televisyen berkenaan menyalahi arahan Taliban.

"Jika mereka tidak patuh kepada arahan itu, kami akan bercakap kepada pengurus serta penjaga wanita terbabit.

"Setiap orang yang tinggal di bawah sistem dan kerajaan, perlu patuh kepada undang-undang serta arahan," katanya.

Mohajir berkata, pengurus syarikat media dan penjaga kepada wanita yang gagal mematuhi arahan berhubung kod etika pemakaian juga boleh dikenakan tindakan.

Sejak kembali berkuasa tahun lalu, Taliban melaksanakan pelbagai peraturan dan sekatan terhadap orang awam, khususnya golongan wanita.

Awal bulan ini, pemimpin tertinggi Afghanistan mengeluarkan arahan supaya setiap wanita mengenakan pakaian penuh ketika berada di tempat awam termasuk menutup wajah mereka menggunakan burqa.

Taliban turut menuntut supaya mana-mana wanita yang gagal mematuhi arahan itu diberhentikan kerja.

Golongan lelaki yang bekerja di jabatan kerajaan turut berdepan tindakan digantung kerja jika isteri atau anak perempuan mereka gagal berbuat demikian. - AFP

Berita Harian X