Sabtu, 21 Mei 2022 | 6:00pm
Anggota tentera Sri Lanka berkawal ketika orang ramai berbaris di Colombo bagi membeli gas memasak yang dijual terus dari lori, ketika negara itu menghadapi kekurangan serius bekalan gas memasak. - Foto EPA
Anggota tentera Sri Lanka berkawal ketika orang ramai berbaris di Colombo bagi membeli gas memasak yang dijual terus dari lori, ketika negara itu menghadapi kekurangan serius bekalan gas memasak. - Foto EPA

Bank pusat Sri Lanka dapat tukaran asing bagi biaya keperluan asas

COLOMBO: Bank pusat Sri Lanka memperoleh pertukaran asing untuk membayar penghantaran bahan api dan gas memasak yang dijangka melegakan kekurangan dihadapi rakyat.

Gabenor bank pusat, P Nandalal Weerasinghe, memberitahu sidang akhbar bahawa dolar yang mencukupi dikeluarkan untuk membayar penghantaran bahan api dan gas memasak.

namun, beliau menegaskan inflasi boleh meningkat lagi hingga ke 40 peratus dalam beberapa bulan akan datang, didorong sebahagian besarnya oleh tekanan dari segi bekalan.

"Bank pusat kini menggunakan sebahagian daripada AS$130 juta (RM570 juta) yang diterima daripada Bank Dunia dan kiriman wang (mata wang asing) daripada warga Sri Lanka yang bekerja di luar negara.

"Langkah oleh bank dan pemerintah ini boleh mengekang inflasi dari segi permintaan, ketika inflasi mencecah 29.8 peratus bulan lalu dengan harga makanan naik 46.6 peratus dari tahun ke tahun," katanya.

Weerasinghe berkata demikian selepas bank pusat mengekalkan kadar faedah yang stabil dalam satu mesyuarat dasar dan menyifatkan negara itu kini lebih stabil dari segi politik serta ekonomi.

Pengumuman itu dibuat ketika polis negara Sri Lanka melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Kebanyakan stesen minyak Sri Lanka sudah kehabisan bekalan susulan krisis ekonomi paling dahsyat sejak negara itu merdeka pada 1948.

Di beberapa pam di ibu kota Colombo, puluhan orang berbaris memegang bekas plastik menunggu giliran membeli minyak, sedang tentera lengkap bersenjata meronda jalanan.

Penduduk berkata ramai orang hanya duduk di rumah kerana kekurangan pengangkutan selain tiada bahan api bagi kenderaan peribadi.

Ratusan pelajar yang membawa bendera hitam berarak di Fort, kawasan pusat Colombo, melaungkan slogan menentang pemerintah.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air berulang kali untuk menyuraikan penunjuk perasaan, menurut saksi kepada Reuters.

Ahli Parlimen pembangkang, Ranil Wickremesinghe, yang dinamakan sebagai perdana menteri minggu lalu, sudah membuat sembilan pelantikan Kabinet tetapi masih belum menamakan seorang menteri kewangan.

Krisis ekonomi Sri Lanka berpunca daripada gabungan pandemik COVID-19 yang melanda ekonomi yang bergantung pada pelancongan itu.

Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa dan abangnya, Mahinda, yang meletak jawatan sebagai perdana menteri minggu lalu, dituduh bertanggungjawab menyebabkan kenaikan harga minyak dan pemotongan cukai yang menjejaskan ekonomi.

Faktor lain termasuk harga bahan api domestik yang menerima subsidi secara besar-besaran dan keputusan melarang import baja kimia, yang menjejas lagi sektor pertanian.

Bank pusat itu berkata harga tenaga serta utiliti perlu disemak segera dan penganalisis berkata keupayaan perdana menteri mendorong pembaharuan melalui Parlimen dan mengatasi kemarahan orang ramai adalah penting.

Wickremesinghe, ketika bercakap di Parlimen, berkata pemerintah sedang berusaha melepaskan enam penghantaran bahan api yang sudah tiba di pelabuhan Colombo.

"Terdapat dua penghantaran petrol dalam kalangan mereka tetapi ini tidak akan menamatkan kekurangan," katanya, sambil menambah bahawa bekalan hanya dapat bertahan sehingga pertengahan Jun.

"Matlamat kami sekarang adalah mengurangkan rakyat yang terpaksa berbaris membeli barangan keperluan dan mencari jalan memulakan rizab bahan api supaya bahan api tetap ada, walaupun beberapa penghantaran terlepas," katanya. - REUTERS.

Berita Harian X