Jumaat, 20 Mei 2022 | 4:11pm
Orang ramai beratur untuk membeli gas di Colombo, Sri Lanka, hari ini. - FOTO REUTERS
Orang ramai beratur untuk membeli gas di Colombo, Sri Lanka, hari ini. - FOTO REUTERS

Sri Lanka berdepan kemelut kekurangan makanan

COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, memberi amaran akan kemelut kekurangan makanan ketika negara ini bergelut dengan krisis ekonomi.

Namun, beliau berikrar bahawa kerajaan akan membeli baja mencukupi untuk keperluan musim penanaman seterusnya, bagi meningkatkan hasil tuaian.

Pada April tahun lalu, Presiden Gotabaya Rajapaksa memutuskan untuk melarang penggunaan semua baja kimia, sekali gus mengakibatkan penurunan drastik hasil tuaian tanaman.

Walaupun kerajaan sudah membatalkan larangan itu, masih belum ada pengimportan yang besar dilakukan, setakat ini.

"Meskipun berkemungkinan masa terlalu suntuk untuk mendapatkan baja bagi musim Yala (Mei-Ogos), langkah sudah diambil untuk memastikan stok mencukupi bagi keperluan musim Maha (September-Mac).

"Saya dengan ikhlas menggesa semua orang untuk menerima keadaan berat ini," katanya dalam satu kenyataan melalui Twitter, semalam.

Rajapaksa melantik sembilan anggota baharu Kabinet, hari ini, termasuk bagi Kementerian Kesihatan, Perdagangan dan Pelancongan.

Beliau tidak menamakan Menteri Kewangan, namun portfolio itu dilihat berkemungkinan akan disandang Wickremesinghe.

Sri Lanka yang bergantung pada industri pelancongan, kini berdepan kekurangan pertukaran mata wang asing, bahan api dan ubat-ubatan, dengan aktiviti ekonomi semakin perlahan.

Di Colombo, orang ramai berbaris panjang di hadapan sebuah kedai menjual tong gas memasak dengan harga yang terus melonjak.

"Hanya kira-kira 200 tong gas dibekalkan, sedangkan ada kira-kira 500 orang beratur. Tanpa gas dan minyak tanah, kita tidak mampu melakukan apa-apa.

"Apa pilihan terakhir? Tanpa makanan, kita akan mati. Itulah yang akan berlaku 100 peratus," kata Mohammad Shazly yang beratur untuk hari ketiga dengan harapan dapat membelinya serta memasak makanan bagi keperluan beliau sekeluarga.

Sementara itu, orang ramai terus menyuarakan kemarahan terhadap kerajaan, yang menyaksikan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan meriam air bagi menyuraikan ratusan pelajar yang mengadakan tunjuk perasaan di Colombo, semalam.

Penunjuk perasaan terbabit menuntut Presiden dan Perdana Menteri disingkirkan. - REUTERS

Berita Harian X