Selasa, 17 Mei 2022 | 8:47pm
Taliban menutup beberapa badan yang melindungi kebebasan rakyat Afghanistan, termasuk suruhanjaya pilihan raya dan kementerian hal ehwal wanita. - Foto AGENSI
Taliban menutup beberapa badan yang melindungi kebebasan rakyat Afghanistan, termasuk suruhanjaya pilihan raya dan kementerian hal ehwal wanita. - Foto AGENSI

Taliban tutup badan hak asasi manusia Afghanistan

KABUL: Taliban hari ini mengumumkan pembubaran suruhanjaya bebas hak asasi manusia Afghanistan kerana badan itu 'tidak diperlukan'.

Sejak mengambil alih kuasa Ogos tahun lalu, Taliban menutup beberapa badan yang melindungi kebebasan rakyat Afghanistan, termasuk suruhanjaya pilihan raya dan kementerian hal ehwal wanita.

"Kami memiliki beberapa pertubuhan lain yang akan menjalankan aktiviti berkaitan hak asasi manusia," kata timbalan jurucakap kerajaan Afghanistan, Inamullah Samangani, tanpa mengulas lanjut.

Tiga suruhanjaya hak asasi, termasuk mendokumenkan kematian orang awam sepanjang dua dekad peperangan di Afghanistan, terhenti apabila Taliban menyingkirkan kerajaan yang disokong Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, manakala pemimpin kanan Afghanistan melarikan diri ke luar negara.

Majlis Keselamatan Negara Afghanistan dan majlis penyelarasan damai yang menguruskan hal ehwal perdamaian, turut ditutup ketika kerajaan negara itu mengumumkan belanjawan tahunan pertamanya.

"Jabatan ini dianggap tidak diperlukan, maka mereka dibubarkan. Namun, sekiranya ia diperlukan pada masa depan, mereka boleh kembali beroperasi," kata Samangani.

Taliban berdepan defisit kewangan sekitar AS$500 juta (RM2.2 bilion), dalam negara yang bergantung hampir sepenuhnya dengan bantuan asing.

Pengarah bersekutu hak asasi wanita Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW), Heather Barr, berkata pihaknya terkejut apabila Afghanistan menutup suruhanjaya hak asasi manusia.

"Perkara ini amat penting, untuk mana-mana pihak memiliki tempat untuk memohon bantuan dan mendapatkan keadilan," katanya menerusi Twitter.

Sebelum ini, Taliban menjanjikan pemerintahan yang lebih lembut berbanding ketika era pemerintahan rejim itu antara 1996 hingga 2001, namun semakin menghakis kebebasan kebanyakan rakyat Afghanistan, khususnya wanita, yang dikenakan sekatan daripada belajar, bekerja dan berpakaian. - AFP

Berita Harian X