Ahad, 15 Mei 2022 | 3:28pm
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto AGENSI
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto AGENSI

PM Australia kerah usaha terakhir untuk pemilihan semula

SYDNEY: Perdana Menteri Australia memerah keringatnya dalam pecutan buat kali terakhir dalam kempen pilihan raya hari ini, dengan mengaku 'tidak semuanya berjalan seperti dirancang' ketika tindak balas negara terhadap pandemik COVID-19.

Di pelancaran rasmi kempen pilihan raya partinya menuju pengundian pada 21 Mei ini, Scott Morrison mengakui kesilapan semasa krisis tetapi mengisytiharkan 'Australia sudah menang'.

Morrison juga dilihat memanfaatkan peluang untuk meraih sokongan parti dan merayu kepada pengundi yang kelihatan bersedia untuk menyingkirkannya selepas tiga tahun berhempas pulas dengan jawatan dipikul.

Berdasarkan tinjauan pendapat terkini, Parti Buruh yang diterajui Anthony Albanese dijangka memenangi undi Sabtu depan.

Jika dilihat, tempoh perkhidmatan Morrison dibelenggu dengan beberapa siri krisis mencakupi isu kemarau didorong perubahan iklim, kebakaran hutan dan banjir sehingga pandemik COVID-19.

"Ia menjadi salah satu detik paling mencabar yang kita ketahui," katanya sambil menegaskan negara sekarang ini menuju ke arah yang betul.

Figura berusia 54 tahun dari pinggir bandar timur yang mewah di Sydney menerima kecaman kerana isu pelaksanaan pemberian vaksin yang perlahan sehingga menyaksikan sempadan negara itu terpaksa ditutup lebih dua tahun.

Beliau turut berdepan kemarahan pihak tertentu berhubung bagaimana kerajaan mengendalikan bencana alam dan keengganan untuk beralih daripada penggunaan bahan api fosil.

Tinjauan secara konsisten menunjukkan sekitar 70 peratus rakyat Australia mahu lebih tindakan terhadap perubahan iklim, tetapi Morrison pula secara berulang kali menolak saranan bercita-cita tinggi atau mengurangkan industri perlombongan arang batu meluas di negara itu.

Berusaha untuk menjadikan pilihan raya sebagai pilihan dan bukannya referendum mengenai kepimpinannya, Morrison menggelarkan Parti Buruh sebagai 'unit longgar' dalam ekonomi dan jawatan perdana menteri oleh ketua pembangkang, Anthony Albanese sebagai 'eksperimen'.

Morrison turut mengumumkan rancangan bagi membenarkan pembeli pertama menggunakan simpanan pencen mereka untuk membeli sebuah rumah.

Dasar sedemikian boleh dikatakan popular dalam kalangan golongan belia Australia yang bergelut mendapatkan akses pasaran hartanah tetapi langkah itu berkemungkinan akan mencetuskan inflasi membabitkan harga rumah. - AFP

Berita Harian X