Khamis, 12 Mei 2022 | 8:41pm
Anggota Pergerakan Wanita Berkuasa Afghanistan, mengambil bahagian dalam protes di Kabul pada 10 Mei 2022. - Foto AFP
Anggota Pergerakan Wanita Berkuasa Afghanistan, mengambil bahagian dalam protes di Kabul pada 10 Mei 2022. - Foto AFP

Taliban tidak dengar suara rakyat Afghanistan - EU

KABUL: Tindakan Taliban menutup sekolah menengah perempuan di negara itu, menunjukkan bahawa kumpulan itu tidak mendengar suara rakyat Afghanistan.

Tindakan itu juga menjadi penghalang besar kepada rejim baharu untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Mac lalu, Taliban mengarahkan semua sekolah menengah perempuan ditutup, selepas hanya dibuka beberapa jam buat pertama kalinya sejak rampasan kuasa pada Ogos tahun lalu.

Arahan oleh pemimpin agung negara dan ketua pergerakan Hibatullah Akhundzada, mencetuskan kemarahan meluas dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Sebelum ini negara Barat berikrar akan memberi bantuan untuk menangani krisis kemanusiaan yang semakin meruncing dengan syarat Taliban menghormati hak asasi manusia, terutamanya hak wanita untuk bekerja dan mendapat pendidikan.

Bagaimanapun, utusan khas Kesatuan Eropah (EU) ke Afghanistan, Tomas Niklasson, berkata veto Taliban ke atas sekolah perempuan, menimbulkan keraguan sejauh mana janji mereka boleh dipegang dan sejauh mana mereka boleh dipercayai sebagai rakan kongsi.

"Ia seolah-olah kerajaan tidak bersedia untuk mendengar rakyatnya," katanya yang menambah bahawa apa yang diinginkan oleh wanita adalah hak untuk bekerja, pendidikan dan akses kepada kemudahan kesihatan dan bukannya arahan bagaimana untuk berpakaian.

Sebelum ini, Taliban berulang kali memberi jaminan mereka akan membuka semula sekolah menengah untuk perempuan, namun, pada 23 Mac lalu, mengarahkan penutupannya selepas puluhan ribu remaja perempuan berpusu-pusu menghadiri kelas.

Mereka masih belum menawarkan jadual baharu bila institusi itu akan dibuka semula.

"Sekiranya sekolah dibuka semula tidak lama lagi di seluruh negara di semua peringkat, untuk lelaki dan perempuan, ini adalah langkah positif ke hadapan," katanya.

Katanya, menghapuskan larangan pendidikan untuk perempuan mungkin akan menjadi anjakan dramatik, sekiranya diikuti oleh jaminan terhadap kebebasan awam, perlindungan minoriti dan hal wanita, akan membantu kes Taliban untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran EU percaya bahawa Afghanistan dalam cengkaman untuk 'trend yang lebih mundur'.

Minggu lalu, Akhundzada mengeluarkan dekri memerintahkan wanita untuk menutup sepenuhnya termasuk muka, ketika berada di tempat awam.

Beliau turut memerintahkan pihak berkuasa memecat pekerja kerajaan wanita yang tidak mengikuti kod pakaian baharu dan menggantung pekerja lelaki sekiranya, isteri dan anak mereka tidak mematuhi arahan itu.

Sesetengah wanita Afghanistan pada mulanya, menolak sekatan itu, dengan mengadakan bantahan kecil.

Bagaimanapun, Taliban kemudian menangkap ketua kumpulan dan menahan mereka tanpa komunikasi dan menafikan bahawa mereka ditahan.

Semalam, pejuang Taliban menyuraikan bantahan kecil wanita terhadap kod pakaian burka dan menghalang wartawan daripada membuat liputan. - AFP

Berita Harian X