Khamis, 12 Mei 2022 | 4:58pm
Sanjeev dan Sadhana Prasad. - Foto AGENSI
Sanjeev dan Sadhana Prasad. - Foto AGENSI

Cucu atau AS$650,000, pasangan India saman anak

DEHRADUB: Sepasang suami isteri India mengheret anak lelaki mereka ke mahkamah bagi menuntut beliau dan isterinya memberikan mereka cucu dalam tempoh setahun atau membayar AS$650,000 (RM2.8 juta).

Sanjeev dan Sadhana Prasad berkata, mereka menghabiskan wang simpanan bagi membesarkan dan membayar pengajian anak lelaki mereka untuk menjadi juruterbang, selain membiayai majlis perkahwinan yang mewah.

Sekarang mereka menuntut bayaran balik.

"Anak lelaki saya sudah berkahwin selama enam tahun, namun, mereka masih belum merancang untuk mendapatkan anak.

"Sekurang-kurangnya, jika kami ada cucu untuk menghabiskan masa, segala kesakitan kami, akan tertanggung," katanya dalam petisyen yang difailkan di mahkamah Haridwar, minggu lalu.

Mereka menuntut ganti rugi 50 juta rupee (RM2.8 juta), termasuk kos majlis perkahwinan di hotel lima bintang, kereta mewah bernilai AS$80,000 (RM351,273) dan membayar percutian bulan madu pasangan itu di luar negara.

Pasangan itu turut mengeluarkan belanja AS$65,000 (RM285,416) untuk menghantar anak mereka mengikuti latihan juruterbang di Amerika Syarikat (AS), namun beliau pulang ke India tanpa sebarang pekerjaan.

"Kami juga terpaksa mengambil pinjaman bagi membina rumah dan kini kami sedang berdepan masalah kewangan.

"Secara mental, kami terganggu kerana tinggal sendiri," kata pasangan itu dalam petisyen mereka.

Peguam pasangan itu, Arvind Kumar, berkata petisyen akan didengar oleh mahkamah utara India pada 17 Mei ini.

India mempunyai sistem kekeluargaan bersama yang kukuh di mana datuk, nenek, sepupu, makcik dan pakcik, kebiasaannya tinggal bersama.

Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, trend itu mula berubah, di mana pasangan muda berpindah daripada orang tua atau adik beradik.

Dalam kes ini, isteri memilih untuk bekerja daripada memberi fokus kepada anak dan tinggal di rumah. - AFP

Berita Harian X