Khamis, 12 Mei 2022 | 4:01pm
Kardinal Joseph Zen yang ditahan semalam melarikan diri dari pengambilalihan komunis China ketika remaja dan berlindung di Hong Kong. - Foto AFP
Kardinal Joseph Zen yang ditahan semalam melarikan diri dari pengambilalihan komunis China ketika remaja dan berlindung di Hong Kong. - Foto AFP

Penangkapan Kardinal tambah kebimbangan tindakan keras China terhadap Hong Kong

HONG KONG: Penahanan seorang kardinal Katolik berusia 90 tahun di bawah Undang-Undang Keselamatan Negara Hong Kong mencetuskan kemarahan antarabangsa dan meningkatkan kebimbangan berhubung tindakan keras China terhadap kebebasan di wilayah itu.

Kardinal bersara Joseph Zen, tokoh agama Katolik paling kanan di Asia, antara kumpulan penyokong demokrasi veteran yang ditahan semalam, kerana 'bersubahat dengan kuasa luar'.

Penyanyi pop kantonis, Denise Ho, peguam veteren, Margaret Ng dan sarjana pengajian kebudayaan yang terkenal, Hui Po-keung turut ditahan.

Po-keung ditahan ketika cuba terbang ke Eropah untuk mengambil jawatan akademik.

Keempat-empat mereka ditahan kerana pembabitan dalam dana pembelaan bagi membantu membayar kos guaman dan perubatan bagi individu yang ditahan ketika gelombang bantahan demokrasi, tiga tahun lalu.

Zen bersama rakan sejawatnya, yang dilepaskan atas ikat jamin semalam, antara 180 penduduk Hong Kong yang ditahan di bawah undang-undang Beijing yang dilaksanakan bagi menghentikan bantahan.

Mereka yang ditahan, kebiasaannya tidak dibenarkan ikat jamin dan boleh dikenakan penjara seumur hidup, jika disabitkan.

Negara Barat mengkritik dan menuduh China menghapuskan kebebasan yang dijanji boleh dikekalkan oleh Hong Kong.

Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini menyekat pegawai utama China berhubung tindakan keras mereka, menggesa Beijing untuk berhenti menyasarkan penyokong Hong Kong.

Vatican menyuarakan kebimbangannya terhadap penahanan Zen dan 'mengikuti perkembangan keadaan itu dengan rapat'.

Kardinal Zen meninggalkan Shanghai ke Hong Kong selepas komunis mengambil alih kuasa pada 1949 dan bangkit menjadi biskop di bandar itu. - AFP

Berita Harian X