Selasa, 10 Mei 2022 | 5:57pm
Jurucakap kementerian luar China, Zhao Lijian. - Foto AGENSI
Jurucakap kementerian luar China, Zhao Lijian. - Foto AGENSI

Kebimbangan G7 terhadap pemilihan pemimpin Hong Kong adalah campur tangan - China

BEIJING: China hari ini berkata, ungkapan kebimbangan oleh negara perindustrian G7 terhadap proses pemilihan ketua eksekutif baharu Hong Kong ialah campur tangan dalam hal ehwal dalaman China.

G7 semalam berkata, proses pemilihan ketua eksekutif baharu di Hong Kong adalah sumber kebimbangan yang serius dan menggariskan kebimbangan yang lebih meluas mengenai kebebasan asasi di bekas tanah jajahan British itu.

"Negara dan institusi barat tertentu telah berpakat untuk memburuk-burukkan pemilihan ketua eksekutif Hong Kong, satu campur tangan sewenang-wenang dalam hal ehwal dalaman China yang ditentang tegas oleh China dan dikecam sekeras-kerasnya," jurucakap kementerian luar, Zhao Lijian, memberitahu dalam satu sidang akhbar.

Lijian berkata, negara sebegitu memilih untuk tidak mengendahkan penambahbaikan dalam demokrasi Hong Kong.

Beliau juga mengkritik negara yang 'menggunakan nada guru demokrasi untuk memberi syarahan mengenai pilihan raya demokrasi di Hong Kong China', sambil menambah bahawa 'negara dan institusi yang berkaitan harus menghormati kedaulatan China'.

G7 termasuk Perancis, Jerman, Kanada, Itali, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat.

Bakal pemimpin Hong Kong, John Lee, telah disahkan untuk jawatan tertinggi bandar itu Ahad lalu oleh sebuah jawatankuasa yang disusun dengan penyokong setia pro-Beijing, ketika hab kewangan itu cuba melancarkan semula dirinya selepas beberapa tahun pergolakan politik. - REUTERS

Berita Harian X