Isnin, 9 Mei 2022 | 11:26am
Perdana Menteri Australia Scott Morrison (kanan) dan Ketua Pembangkang Anthony Albanese berdebat di televisyen secara langsung menjelang pilihan raya persekutuan 2022, di Sydney, Australia 8 Mei lalu. - Foto REUTERS
Perdana Menteri Australia Scott Morrison (kanan) dan Ketua Pembangkang Anthony Albanese berdebat di televisyen secara langsung menjelang pilihan raya persekutuan 2022, di Sydney, Australia 8 Mei lalu. - Foto REUTERS

Undi awal bermula di Australia, pembangkang mendahului

SYDNEY: Proses undian awal bermula di Australia hari ini, dua minggu sebelum pilihan raya, dengan kaji selidik menunjukkan pembangkang berhaluan pertengahan kiri, Parti Buruh, kekal di hadapan.

Selain itu, kaji selidik itu mendapati sokongan kepada Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, mengalami penurunan.

Sepanjang kempen yang memberi fokus pada tekanan kos sara hidup, keselamatan negara dan perubahan iklim, kaji selidik dijalankan akhbar The Australian menunjukkan Parti Buruh mendahului dengan 54 peratus, berbanding 46 peratus bagi kerajaan gabungan Parti Liberal-Parti Nasional pimpinan Morrison.

Kaji selidik itu juga mendapati sokongan pada Morrison sebagai pemimpin pilihan turun kepada 44 peratus, sekali gus hanya sedikit di hadapan Ketua Pembangkang, Anthony Albanese yang meningkat tiga mata kepada 42 peratus.

Undian awal hari ini bermula sehari selepas debat antara Morrison dan Albanese yang disiarkan di televisyen, dengan ada ketika kedua-dua mereka menjerit antara satu sama lain.

"Tiada apa yang disampaikan Morrison melainkan jeritan. Dia hanya mampu memburuk-burukkan dan tersenyum sinis sepanjang debat," kata Albanese kepada media, hari ini.

Pengundi wanita dilihat cenderung memilih Parti Buruh yang dipercayai lebih mampu menguruskan tekanan kos sara hidup, selepas lonjakan inflasi memaksa bank pusat Australia menaikkan kadar faedah tunai, minggu lalu.

Sekiranya penguncupan sokongan pada gabungan kerajaan menjadi realiti dalam pilihan raya 21 Mei ini, Parti Buruh bakal mentadbir kerajaan secara sendirian, jelas kaji selidik Australian Financial Review, yang menunjukkan kos sara hidup sebagai isu utama dalam kalangan pengundi.

Ketika ini, gabungan kerajaan hanya memiliki majoriti satu kerusi di Dewan Rakyat.

Jutaan warga Australia dijangka keluar mengundi secara fizikal di lebih 500 pusat mengundi di seluruh negara itu, dua minggu akan datang. - REUTERS

Berita Harian X