Ahad, 8 Mei 2022 | 8:38pm
John Lee melambai kepada penyokongnya dari atas pentas selepas dilantik sebagai Ketua Eksekutif Hong Kong menggantikan Carrie Lam. - Foto REUTERS
John Lee melambai kepada penyokongnya dari atas pentas selepas dilantik sebagai Ketua Eksekutif Hong Kong menggantikan Carrie Lam. - Foto REUTERS

Bekas ketua keselamatan dilantik pemimpin Hong Kong

HONG KONG: Bekas ketua keselamatan yang menyelia tindakan keras terhadap pergerakan prodemokrasi Hong Kong dilantik sebagai pemimpin baharu hab perniagaan itu oleh jawatankuasa kecil dianggotai penyokong yang setia kepada Beijing.

John Lee, 64, adalah satu-satunya calon yang disokong oleh Beijing bagi menggantikan pemimpin sedia ada, Carrie Lam.

Pelantikan Lee, yang dikenakan perintah sekatan oleh Amerika Syarikat (AS), adalah kali pertama pegawai keselamatan dilantik bagi jawatan itu tertinggi itu, di bandar yang sejak beberapa tahun lalu dirundung ketidakstabilan politik dan pandemik COVID-19.

Walaupun Perlembagaan mini bandar itu menjanjikan hak kebebasan mengundi, Hong Kong tidak pernah mengamalkan demokrasi, sekali gus mencetuskan kekecewaan dan protes awam sejak pulau itu diserahkan kepada China pada 1997.

Sebaliknya, pemimpin Hong Kong dipilih menerusi pilihan raya jawatankuasa yang kini merangkumi 1,461 anggota, kira-kira 0.02 peratus daripada penduduk bandar itu.

Menurut pegawai, selepas undian rahsia hari ini, 99 peratus (1,416 ahli) mengundi Lee, manakala lapan menentang.

Beijing memuji keputusan itu dengan menyatakan ia menunjukkan masyarakat Hong Kong mempunyai tahap pengiktirafan dan kelulusan yang tinggi.

Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau, dalam kenyataannya, berkata ini adalah demonstrasi sebenar semangat demokratik.

Di bawah slogan 'Bersama-sama memulakan lembaran baharu untuk Hong Kong bersama-sama', Lee berjanji membawa tadbir urus 'berorientasikan hasil', menjalin perpaduan dan menghidupkan semula ekonomi bandar.

Beliau mengeluarkan manifesto setebal 44 muka surat minggu lalu, yang berpegang kepada matlamat luas dan menawarkan beberapa dasar yang kukuh.

Lee akan memulakan tugas pada 1 Julai ini, sempena sambutan ulang tahun ke-25 penyerahan semula Hong Kong oleh Britain kepada China.

Lee adalah salah seorang daripada 11 pegawai kanan Hong Kong dan Beijing disekat oleh Amerika Syarikat (AS) akibat tindakan keras politik. - AFP

Berita Harian X