Ahad, 8 Mei 2022 | 1:31pm
Presiden Korea Selatan yang baharu dipilih, Yoon Suk-yeol ketika menghadiri majlis di kuil Jogyesa di Seoul. - Foto EPA
Presiden Korea Selatan yang baharu dipilih, Yoon Suk-yeol ketika menghadiri majlis di kuil Jogyesa di Seoul. - Foto EPA

Presiden baharu Korea Selatan anggap Pyongyang musuh

SEOUL: Presiden baharu Korea Selatan akan mengangkat sumpah Selasa ini dan kelihatan beliau bersedia untuk bertegas dengan Pyongyang, berbeza dengan pendekatan 'mengalah' oleh pendahulunya.

Tidak seperti Presiden Moon Jae-in, yang melihat Korea Utara sebagai rakan perunding, penggantinya, Yoon Suk-yeol melihat negara itu sebagai musuh, menurut Cheong Seong-chang dari Pusat Kajian Korea Utara di Institut Sejong.

Seong-chang berkata, Suk-yeol berjanji untuk secara rasmi mendefinisikan Pyongyang sebagai 'musuh utama' Korea Selatan dan tidak menolak melaksana tekanan awal terhadap Korea Utara.

Pendirian tegas ini kelihatannya tidak disenangi Pyongyang.

Khamis lalu, laman web propaganda Korea Utara, Uriminzokkiri berkata Suk-yeol sedang membangkitkan 'konfrontasi' dan adalah tidak masuk akal baginya untuk membincangkan protes awal.

Menurut seorang penyelidik di Institut Korea untuk Penyatuan Nasional, Hong Min, Suk-yeol mahukan penyahnuklearisasi yang lengkap dan boleh disahkan Korea Utara, sesuatu yang dikecam Kim Jong Un.

"Menggesa Jong Un untuk melepaskan senjata nuklearnya terlebih dahulu adalah halangan yang terlalu tinggi untuk diterima oleh Korea Utara," katanya.

Suk-yeol sudah meminta lebih banyak aset tentera Amerika Syarikat (AS) dikerahkan di selatan, topik yang mungkin menjadi agenda dalam lawatan Presiden AS, Joe Biden ke Seoul akhir bulan ini.

Menurut profesor madya politik antarabangsa di Hankuk University of Foreign Studies, Mason Richey berkata Jong Un akan melancarkan ujian senjatanya sekitar acara angkat sumpah Suk-yeol dan lawatan Biden, dengan harapan untuk meningkatkan tekanan.

"Jong Un mungkin berhasrat untuk menjadikan pendekatan tegas Suk-yeal ke atas Korea Utara supaya sukar diterima di negaranya," katanya. - AFP

Berita Harian X