Ahad, 1 Mei 2022 | 4:59pm
Umat Islam di Kabul menunaikan solat sunat Aidilfitri, menandakan berakhirnya bulan Ramadan di luar sebuah masjid hari ini. - Foto AFP
Umat Islam di Kabul menunaikan solat sunat Aidilfitri, menandakan berakhirnya bulan Ramadan di luar sebuah masjid hari ini. - Foto AFP

Pemimpin Afghanistan puji situasi 'selamat' di bawah Taliban

KANDAHAR: Pemimpin agung Afghanistan muncul di khalayak umum buat kali kedua dalam tempoh enam tahun hari ini, dan memaklumkan Taliban sudah mencapai kebebasan dan keselamatan sejak merampas kuasa tahun lalu.

Beliau yang dikenali sebagai Hibatullah Akhundzada, berucap hanya beberapa hari selepas insiden letupan bom di sebuah masjid di Kabul, dilihat dikawal ketat pasukan keselamatan.

"Tahniah atas kemenangan, kebebasan dan kejayaan. Tahniah atas keselamatan dan sistem Islam," katanya kepada ribuan umat Islam di masjid Eidgah di bandar Kandahar, yang juga pusat pemerintahan kumpulan Islam itu.

Meskipun jumlah insiden pengeboman sudah berkurangan sejak Kabul dirampas Taliban pada Ogos tahun lalu, jumlah serangan meningkat sejak dua minggu terakhir Ramadan, yang berakhir semalam bagi penduduk Afghanistan.

Puluhan orang awam terbunuh dalam serangan itu, dengan ada antaranya disahkan dilaksanakan DAESH, yang menyasarkan komuniti Syiah dan Sufi.

Insiden letupan Jumaat lalu meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa.

Hibatullah menyampaikan ucapan ringkas di antara beberapa barisan hadapan tanpa mengalihkan wajah ke arah pengikutnya.

Taliban tidak membenarkan wartawan menghampirinya, lapor koresponden AFP.

Dua helikopter berlegar-legar di atas masjid itu sepanjang dua jam majlis itu.

Ia adalah kali kedua Hibatullah hadir di hadapan khalayak umum sejak mengambil alih pimpinan Taliban pada 2016.

Oktober lalu, beliau melawat masjid Darul Uloom Hakimiah di Kandahar, menurut rakaman audio yang disebarkan akaun media sosial Taliban.

Tindakan Hibatullah yang tidak menonjolkan diri, mencetus spekulasi mengenai peranannya dalam kerajaan Taliban yang dibentuk sejak kumpulan itu mengawal Kabul pada 15 Ogos lalu, selain khabar angin kematiannya.

Setakat hari ini, ramai penduduk Afghanistan lebih memilih untuk kekal di rumah susulan beberapa serangan terbaharu.

"Situasi membabitkan penduduk Afghanistan amat menyedihkan, termasuklah kejadian yang berlaku di masjid-masjid.

"Ramai orang muda dan tua yang mati syahid. Penduduk Afghanistan hanya ada kesedihan," kata penduduk Kabul, Ahmad Shah Hashemi.

Serangan terbaharu ketika Ramadan itu berlaku di Kunduz, apabila sebuah bom meletup dalam masjid, dengan sekurang-kurangnya 36 individu terbunuh dan puluhan lagi cedera. - AFP

Berita Harian X