Sabtu, 30 April 2022 | 5:06pm
Dakwaan Perdana Menteri Scott Morrison muncul ketika tinjauan menunjukkan gabungan konservatifnya menuju ke arah kekalahan menjelang pilihan raya Australia 21 Mei depan. - Foto REUTERS
Dakwaan Perdana Menteri Scott Morrison muncul ketika tinjauan menunjukkan gabungan konservatifnya menuju ke arah kekalahan menjelang pilihan raya Australia 21 Mei depan. - Foto REUTERS

PM Australia kritik 'campur tangan' China

SYDNEY: Perdana Menteri Australia hari ini menuduh China mencampuri urusan politik luar, selepas menteri dalam negerinya menyifatkan pendedahan Beijing mengenai perjanjian keselamatan dengan Kepulauan Solomon dirancang untuk mempengaruhi pilihan raya Australia.

Dengan kebanyakan tinjauan menunjukkan gabungan konservatif pimpinan Scott Morrison bakal tewas dalam pilihan raya pada 21 Mei depan, beliau cuba mengetengahkan isu keselamatan negara, antaranya menerusi pendekatan keras terhadap China.

"Kami sedar usaha kerajaan China untuk mencampuri urusan negara ini. Terdapat rekod campur tangan asing di Australia," kata Morrison kepada pemberita di Tasmania.

Beliau menjawab soalan yang meminta bukti dakwaan Menteri Dalam Negeri Australia, Karen Andrews yang menyifatkan tempoh waktu pendedahan China mengenai perjanjian dengan Kepulauan Solomon, sebagai campur tangan asing dalam pilihan raya Australia.

China sebelum ini memaklumkan, perjanjian itu tidak menyasarkan mana-mana pihak ketiga, dan menggesa Australia untuk 'menghormati kedaulatan dan kebebasan pilihan yang dibuat oleh China dan Kepulauan Solomon'.

Berita mengenai perjanjian keselamatan dengan negara Pasifik itu mencetuskan kebimbangan mengenai prospek kehadiran tentera China kurang 2,000 kilometer (km) dari Australia, sekali gus memburukkan kawalan keselamatan negara di bawah pentadbiran Morrison.

Parti pembangkang Australia, Parti Buruh, menyifatkan perjanjian itu sebagai kegagalan keselamatan negara oleh Canberra, sebelum pentadbiran Morrison menyatakan pendirian lebih tegas dalam isu berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri Kepulauan Solomon, Manasseh Sogavare dilaporkan berkata, negara itu tidak akan terbabit dalam mana-mana usaha ketenteraan di Pasifik, dan perjanjian China dilaksanakan kerana perjanjian keselamatan dengan Australia tidak mencukupi. - REUTERS

Berita Harian X