Sabtu, 30 April 2022 | 12:47pm

Lubnan tidak mampu lagi terima pelarian Syria - Menteri

BEIRUT: Lubnan yang dilanda krisis tidak lagi mampu untuk menerima pelarian Syria tanpa bantuan, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Menteri Buruh Lubnan, Mustafa Bayram pada Jumaat.

"Lubnan tidak lagi mampu menanggung beban ini sendiri, tanpa sebarang bantuan," kata Bayram dipetik Agensi Berita Nasional sambil menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memikul tanggungjawabnya.

Susulan mesyuarat jawatankuasa menteri mengenai pelarian Syria, Bayram menyatakan bahawa pelarian Syria boleh menerima bantuan tunai daripada PBB, serta sokongan untuk pendidikan, sewa, kemasukan ke hospital, dan pemanasan, sedangkan rakyat Lubnan perlu membayar sendiri perkhidmatan itu tanpa sebarang bantuan yang dianggap tidak adil bagi warga tempatan.

Menteri Hal Ehwal Sosial Lubnan Hector Hajjar menyebut beliau akan memberi taklimat kepada Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian mengenai keputusan jawatankuasa menteri.

Lubnan kekal sebagai negara yang menampung jumlah pelarian per kapita terbesar, dengan kerajaan menganggarkan seramai 1.5 juta pelarian Syria berada di negara itu. – BERNAMA

Berita Harian X