Sabtu, 30 April 2022 | 6:37am
 Pejuang Taliban berkawal di lokasi letupan di Masjid Khalifa Sahib. - Foto AFP
Pejuang Taliban berkawal di lokasi letupan di Masjid Khalifa Sahib. - Foto AFP

Lebih 50 maut dalam letupan masjid di Afghanistan

KABUL: Letupan kuat mengorbankan lebih 50 jemaah selepas solat Jumaat di masjid Kabul, kata ketua masjid.

Letupan itu adalah insiden terbaharu dalam siri serangan menyasarkan orang awam di Afghanistan ketika Ramadan.

Timbalan jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Besmullah Habib, berkata letupan itu berlaku di Masjid Khalifa Sahib di barat ibu negara dengan angka rasmi kematian membabitkan 10 jemaah.

Serangan itu berlaku ketika jemaah masjid Sunni berkumpul selepas solat Jumaat.

Ketua masjid, Sayed Fazil Agha, berkata individu yang dipercayai pengebom berani mati menyertai mereka dalam majlis itu dan meletupkan bahan letupan.

"Mayat ada di mana-mana," katanya kepada Reuters, sambil menambah bahawa anak saudaranya antara yang maut.

"Saya sendiri terselamat tetapi kehilangan orang yang saya sayangi."

Seorang penduduk, Mohammad Sabir, berkata dia melihat orang yang cedera dimasukkan ke dalam ambulans.

"Letupan itu sangat kuat, saya fikir gegendang telinga saya retak," katanya.

Sumber kesihatan berkata hospital menerima 66 mayat dan 78 orang yang cedera setakat ini.

Misi Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Afghanistan mengecam serangan itu, dengan yang kedua-dua pihak berkata ia adalah sebahagian daripada peningkatan keganasan dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang menyasarkan golongan minoriti.

Mereka berkata sekurang-kurangnya dua kakitangan PBB dan keluarga mereka berada di masjid ketika serangan.

"Tiada perkataan yang cukup kuat untuk mengecam perbuatan keji ini," kata Timbalan Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk Afghanistan, Mette Knudsen.

Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan itu dan memberi jaminan dalang akan diburu dan dihukum.

Sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. - REUTERS

Berita Harian X