Khamis, 28 April 2022 | 4:33pm
Jumlah unggas ternakan dan liar yang besar di China meningkatkan risiko virus bercampur dan membiak. - Foto AFP
Jumlah unggas ternakan dan liar yang besar di China meningkatkan risiko virus bercampur dan membiak. - Foto AFP

China lapor kes pertama jangkitan virus H3N8 pada manusia

BEIJING: China merekod jangkitan pertama virus H3N8 selesema burung ke atas manusia, tetapi menegaskan risiko ia merebak dalam kalangan manusia adalah rendah.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China dalam laporannya kelmarin berkata seorang budak lelaki berusia empat tahun di wilayah Henan dijangkiti varian itu selepas mengalami demam dan gejala lain pada 5 April.

Menurutnya, tiada kontak rapat budak itu, yang dipercayai menyentuh ayam dan burung gagak diternak di rumahnya, dijangkiti virus berkenaan.

Varian H3N8 sebelum ini dikesan pada kuda, anjing, burung dan anjing laut tetapi tiada kes manusia H3N8 dilaporkan.

Suruhanjaya itu berkata penilaian awal menentukan varian itu belum mempunyai keupayaan menjangkiti manusia secara berkesan dan risiko wabak berskala besar adalah rendah.

Tahun lalu, China melaporkan kes pertama jangkitan strain H10N3 ke atas manusia.

China yang mempunyai sejumlah besar burung ternakan dan liar daripada pelbagai spesies mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk virus burung bercampur dan bermutasi.

Banyak jenis strain selesema burung berbeza terdapat di China dan secara berkala menjangkiti orang ramai, biasanya yang bekerja dalam industri penternakan ayam.

Bulan lalu, China melaporkan wabak jangkitan selesema burung H5N6, yang merekodkan 17 kes di negara itu.

Kes H5N6 bulan lalu itu membabitkan wanita berusia 51 tahun dari Nanchang, wilayah Jiangxi, selepas beliau mengalami sakit teruk dan disahkan positif wabak itu.

Menurut Jabatan Kesihatan Hong Kong, wanita itu mula bergejala pada 20 Februari selepas terdedah kepada ternakan ayam hidup.

Wanita itu dimasukkan ke hospital tiga hari selepas itu dan berada dalam keadaan kritikal.

Maklumat lanjut mengenai kes itu tidak diumumkan oleh pemerintah China, kerana pengumuman kes baru kebiasaannya mengambil tempoh panjang.

Seminggu sebelum kes itu, China melaporkan seorang budak perempuan berusia 12 tahun dan warga emas lelaki berumur 79 tahun maut akibat virus H5N6 sejak Disember tahun lalu.

Kedua-dua mangsa tinggal di Liuzhou di Guangxi dan pernah mengunjungi pasar yang menjual ayam hidup sebelum jatuh sakit.

Tidak diketahui alasan kenapa China mengambil masa tiga setengah bulan untuk melaporkan kes berkenaan.

Setakat ini, 76 orang disahkan dijangkiti selesema burung H5N6 sejak kes pertama dilapor pada 2014.

Jangkitan kes terbabit mula meningkat tahun lalu dan tahun ini, 17 kes baru serta lima kematian dilaporkan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), selesema burung H5N6 menyebabkan penyakit teruk ke atas manusia tidak kira peringkat umur dan membunuh separuh daripada individu yang dijangkiti.

Sehingga kini, tiada kes penularan dari manusia ke manusia disahkan. - REUTERS

Berita Harian X