Isnin, 25 April 2022 | 7:11am
Pemberontak Houti Yaman. Foto fail REUTERS
Pemberontak Houti Yaman. Foto fail REUTERS

Houthi Yaman tawar bebaskan 200 tahanan sebelum Aidilfitri

ADEN: Pemberontak Houthi yang bersekutu dengan Iran membuat tawaran baharu kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang merangkumi pembebasan 200 tahanan sebelum sambutan Aidilfitri awal bulan depan.

Menurut TV Al-Masirah yang memetik Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Tahanan Houthi, Abdul Qader al-Murtada, tawaran baharu itu dikemukakan selepas penangguhan pelaksanaan perjanjian pertukaran tahanan, selain sedang menunggu maklum balas daripada gabungan tentera pro kerajaan yang disokong Arab Saudi.

Bulan lalu, kedua pihak yang bertelagah membincangkan kemungkinan pertukaran tahanan yang boleh menyaksikan ratusan tahanan dibebaskan, termasuk 16 warga Saudi dan abang kepada bekas Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi, tetapi tiada persetujuan muktamad dicapai sejak itu.

Menerusi perjanjian itu, Murtada berkata, di bawah naungan PBB, boleh membebaskan 1,400 tahanan Houthi sebagai balasan kepada 823 banduan gabungan, termasuk 16 warga Saudi dan tiga tahanan Sudan.

Awal bulan ini, pihak yang berperang dalam konflik tujuh tahun Yaman bersetuju dengan gencatan senjata di seluruh negara buat kali pertama dalam beberapa tahun, di bawah perjanjian yang diuruskan oleh PBB. - REUTERS

Berita Harian X