Rabu, 13 April 2022 | 10:28am
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Umat Islam akan berpuasa dua kali setahun pada 2030

RIYADH: Umat Islam di seluruh dunia akan menjalani ibadah puasa dan sambutan Aidilfitri sebanyak dua kali berdasarkan kalendar Gregorian, kata seorang ahli astronomi Arab Saudi, Khaled al-Zaqaq.

Bulan Ramadan pertama pada 2030 iaitu lapan tahun lagi, kata beliau, akan disambut sekitar 5 Januari iaitu pada 1451 Hijrah sementara sambutan bulan puasa kedua bagi tahun 1452 Hijrah pula dijangka jatuh pada 26 Disember 2030.

Khaled al-Zaqaq menerusi video disiarkan di akaun Twitter rasminya berkata, perkara itu berlaku disebabkan fakta kalendar Hijrah Islam berdasarkan kitaran bulan, manakala kalendar Gregorian menandakan laluan bumi mengelilingi matahari, lapor portal Alarabiya News.

Katanya, perbezaan antara dua-dua kalendar itu menyaksikan Ramadan jatuh dua kali dalam tahun Gregorian, iaitu kira-kira setiap 30 tahun.

"Kali terakhir ia berlaku pada 1997 dan sebelum itu pada 1965. Ia dijangka berlaku lagi pada 2063.

"Pada 1451 Hijrah, Ramadan bermula pada 5 Januari 2030 manakala 1452 Hijrah pula jatuh pada 26 Disember 2030," katanya.

Beliau berkata, fakta itu menyaksikan umat Islam berpuasa 36 hari pada 2030.

"Bulan penuh 30 hari untuk 1451 Hijrah dan enam hari untuk 1452 Hijrah.

"Tahun Hijrah berlangsung 354 atau 355 hari, bermakna ia tidak sejajar dengan kalendar Gregorian sebanyak 365 hari.

"Ini bermakna Ramadan jatuh dalam musim berbeza setiap tahun dan berjalan dalam kitaran 32 tahun," katanya.

Beliau juga berkata berdasarkan kalendar itu, Ramadan 1449 Hijrah yang bermula pada 2028 akan berlangsung pada pertengahan musim sejuk.

"Pada 1466 Hijrah, bersamaan dengan 2044, bulan suci bermula semasa kemuncak musim panas.

"Puasa Ramadan diperhatikan dari matahari terbit hingga terbenam bermakna tempoh paling lama berpuasa berlaku apabila Ramadan pada musim panas dan paling pendek apabila ia jatuh pada musim sejuk," katanya.

Berita Harian X