Selasa, 12 April 2022 | 5:43pm
Kira-kira 2.5 juta jemaah mengerjakan ibadah haji pada 2019, namun pada tahun berikutnya bilangan jemaah dihadkan kepada 10,000 individu, susulan penularan COVID-19. - Foto AFP
Kira-kira 2.5 juta jemaah mengerjakan ibadah haji pada 2019, namun pada tahun berikutnya bilangan jemaah dihadkan kepada 10,000 individu, susulan penularan COVID-19. - Foto AFP

Arab Saudi peruntukkan 85 peratus kouta haji untuk jemaah luar

RIYADH: Jemaah dari negara luar akan mendapat sebahagian besar daripada kuota mengerjakan haji bagi musim ibadah tahun ini sebanyak 85 peratus.

Lapor saluran televisyen Al-Arabiya yang memetik sumber Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, jumlah itu mewakili daripada sejuta jemaah yang dibenarkan mengerjakan haji yang terdiri daripada umat Islam dari seluruh dunia, dan selebihnya adalah rakyat Arab Saudi.

Ini bermakna kuota bagi jemaah haji domestik tidak melebihi 150,000 orang, manakala 850,000 jemaah lagi adalah dari negara di seluruh dunia, kata sumber itu.

Keputusan itu bertujuan memberi peluang kepada sebilangan besar umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan haji selepas mengambil kira mereka tidak dibenarkan berbuat demikian dalam tempoh dua tahun lalu, susulan penularan wabak COVID-19.

Terdahulu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menerusi kenyataan memaklumkan jumlah jemaah dari luar yang dibenarkan mengerjakan haji tahun ini akan mengikut kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara dan mengambil kira pematuhan semua kriteria penjagaan kesihatan.

Menurut kenyataan itu, musim haji tahun ini hanya terbuka kepada jemaah berusia 65 tahun ke bawah dan sudah menerima vaksin COVID-19 yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

Katanya, jemaah haji dari luar negara perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan PCR COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berlepas ke Arab Saudi. - AGENSI

Berita Harian X