Rabu, 6 April 2022 | 2:21pm
GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

6 cetus kacau ganggu ditahan polis Hong Kong kerana menghasut

Hong Kong: Enam individu yang dituduh menyebabkan kacau ganggu di bilik mahkamah ditahan kerana menghasut pada Rabu, ketika pihak berkuasa tempatan meningkatkan penggunaan undang-undang era penjajah terhadap pengkritik.

Gangguan mahkamah biasanya ditangani di bawah peraturan penghinaan, namun pihak berkuasa memilih menggunakan hasutan, satu pertuduhan yang dianggap sebagai kesalahan keselamatan negara.

Polis berkata, empat lelaki dan dua wanita berusia antara 32 dan 67 tahun itu ditahan susulan tindakan mereka ketika perbicaraan mahkamah antara Disember dan Januari.

Suspek sengaja menyebabkan kacau ganggu semasa menghadiri perbicaraan dan menjejaskan maruah bidang kuasa serta operasi mahkamah dengan teruk," kata pihak polis dalam satu kenyataan akhbar.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan tingkah laku atau tindakan tertentu yang disifatkan sebagai menghasut.

Mahkamah Hong Kong menjadi tempat berkumpul untuk penyokong demokrasi ketika pihak berkuasa mendakwa ribuan aktivis dan penunjuk perasaan berikutan protes di seluruh bandar pada 2019.

Kebanyakan perbicaraan terbuka kepada orang ramai, dengan penyokong demokrasi sering bertepuk tangan atau menjerit kata-kata semangat kepada defendan yang hadir di kandang tertuduh.

Hakim Hong Kong sebelum ini menghukum penonton kerana tingkah laku mereka dan memberi amaran bahawa mereka boleh menghina mahkamah, tetapi tiada seorang pun yang ditangkap sebelum Rabu.

Polis berkata, mereka merampas rekod yang didakwa menunjukkan suspek 'bersubahat' untuk melakukan perbuatan mengganggu di mahkamah, selepas menggeledah kediaman mereka.

Siew Yun-long, seorang wartawan terkenal dengan laporan mahkamahnya, antara ditahan, keluarganya mengesahkan kepada AFP.

Leo Tang, bekas pemimpin Konfederasi Kesatuan Sekerja Hong Kong (HKCTU) yang kini dibubarkan, turut ditahan menurut media tempatan.

HKCTU antara beberapa kumpulan masyarakat sivil dan saluran berita tempatan yang mengkritik kerajaan yang diarah tutup berikutan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh dikenakan Beijing pada 2020 untuk menghapuskan perbezaan pendapat.

Polis menahan kira-kira 170 orang di bawah undang-undang keselamatan, termasuk penggubal undang-undang pembangkang, aktivis, wartawan dan pelajar.

Pihak berkuasa juga semakin bergantung pada undang-undang hasutan, undang-undang warisan yang sehingga baru-baru ini tidak digunakan dalam beberapa dekad.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum dua tahun.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pertuduhan hasutan dikenakan terhadap ahli kesatuan pro-demokrasi yang menghasilkan buku kanak-kanak eufemistik; wartawan dari saluran berita pro-demokrasi yang kini ditutup; serta mereka yang mengkritik tindak balas kerajaan terhadap pandemik. - AFP

Berita Harian X