Isnin, 4 April 2022 | 1:16pm
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto REUTERS
Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam. - Foto REUTERS

Carrie Lam tidak sambung tugas untuk penggal kedua

HONG KONG: Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam yang mentadbir hab kewangan global itu melalui pergolakan protes antikerajaan dan COVID-19 menyatakan, beliau tidak akan menyambung tugasnya untuk penggal seterusnya.

Pengumuman Lam dibuat ketika Ketua Setiausaha Negara, John Lee, pegawai kedua paling kanan Hong Kong bersedia meletak jawatan untuk bersaing menggantikan Lam pada Mei dan menjadi pemimpin seterusnya untuk bandar yang diperintah oleh China itu.

"Keutamaan saya ketika ini adalah keluarga dan ini adalah perkara pertama dipertimbangkan.

"Mereka fikir sudah tiba masanya untuk saya pulang," kata Lam.

Lam dilahirkan di Hong Kong yang diperintah oleh British pada 1957 dan seorang penjawat awam yang menggambarkan dirinya sebagai seorang penganut Katholik yang taat, memegang jawatan pada 2017 dengan ikrar untuk menyatukan sebuah bandar yang semakin membenci cengkaman Beijing.

Dua tahun kemudian, berjuta-juta orang turun ke jalan dalam protes antikerajaan yang kadangkala ganas, yang akhirnya menyebabkan Beijing mengenakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh pada Jun 2020, memberikannya lebih kuasa berbanding sebelum ini untuk membentuk kehidupan di Hong Kong.

Sementara itu, Lee, 64, seorang pegawai keselamatan semasa protes prodemokrasi 2019 yang berpanjangan dan sering ganas, dinaikkan pangkat pada 2021 dalam satu langkah yang dikatakan beberapa penganalisis menandakan keutamaan Beijing untuk bandar itu berkaitan keselamatan berbanding kewangan atau ekonomi.

Pemilihan kepimpinan telah ditunda dari tarikh asal pada 27 Mac untuk memberi masa kepada kerajaan memerangi COVID-19 yang telah menjangkiti lebih sejuta daripada 7.4 juta orang di bekas jajahan British itu.

Sejak Hong Kong kembali ke pemerintahan China pada 1997, ia mempunyai empat ketua eksekutif, yang kesemuanya bergelut untuk mengimbangi aspirasi demokrasi sesetengah penduduk dengan visi pemimpin Parti Komunis China. - REUTERS

Berita Harian X