Khamis, 31 March 2022 | 6:12pm
Wanita dan gadis Afghanistan mengadakan protes di hadapan Kementerian Pendidikan di Kabul menuntut mereka dibenarkan menghadiri sekolah tinggi awam. - FOTO AFP
Wanita dan gadis Afghanistan mengadakan protes di hadapan Kementerian Pendidikan di Kabul menuntut mereka dibenarkan menghadiri sekolah tinggi awam. - FOTO AFP

Bank Dunia tangguh projek kemanusiaan di Afghanistan

WASHINGTON: Bank Dunia menangguhkan empat projek kemanusiaan di Afghanistan yang berjumlah AS$600 juta (RM2.5 bilion).

menurut laporan Arab News, keputusan itu dibuat menyusuli tindakan pemerintahan Taliban yang melarang pelajar perempuan daripada kembali ke sekolah tinggi awam.

Projek-projek berkenaan, yang akan dibiayai di bawah Tabung Amanah Pembinaan Semula Afghanistan (ARTF), sudah bersedia untuk dilaksanakan oleh agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia sepatutnya menyokong bidang-bidang seperti pertanian, pendidikan kesihatan dan kehidupan seharian penduduk Afghanistan.

Bagaimanapun, garis panduan Bank Dunia menuntut semua aktiviti yang dibiayai ARTF perlu menyokong akses kepada wanita dan kanak-kanak perempuan di Afghanistan.

"Justeru, pihak bank menetapkan bahawa empat projek itu hanya akan dibentangkan kepada penderma ARTF untuk diluluskan sekiranya Bank Dunia dan rakan kerjasama antarabangsa benar-benar memahami keadaan di Afghanistan serta yakin bahawa matlamat projek dapat dipenuhi," menurut bank itu.

Lembaga eksekutif Bank Dunia pada 1 Mac lalu meluluskan satu pelan untuk menggunakan lebih AS$1 bilion (RM4.2 bilion) daripada dana ARTF untuk membiayai bidang pendidikan, pertanian, kesihatan dan program kekeluargaan dengan segera.

Ia akan menjangkaui kelulusan pihak berkuasa Taliban selain wang itu dapat diagih menerusi agensi-agensi PBB serta kumpulan bantuan kemanusiaan.

Bank Dunia menjangkakan projek berkenaan dapat memberi tumpuan utama dalam memastikan kanak-kanak perempuan dan golongan wanita dapat mengambil bahagian serta menerima manfaat daripada sokongan itu.

Sebelum ini, pada Ogos tahun lalu, dana ARTF dibekukan apabila Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan di Afghanistan. – AGENSI

Berita Harian X