Sabtu, 26 March 2022 | 4:48pm
Taliban menutup sekolah menengah perempuan minggu ini beberapa jam selepas membukanya semula. - Foto AFP
Taliban menutup sekolah menengah perempuan minggu ini beberapa jam selepas membukanya semula. - Foto AFP

AS batalkan rundingan Taliban selepas penutupan sekolah perempuan

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) membatalkan rundingan yang dirancang dengan Taliban di Doha selepas Afghanistan menutup sekolah menengah perempuan.

Timbalan Jurucakap Jabatan Negara, Jalina Porter, berkata pihaknya membatalkan beberapa pembabitan termasuk mesyuarat yang dirancang di Doha sekitar Forum Doha dan melihat keputusan ini sebagai titik perubahan yang berpotensi dalam pembabitan mereka.

"Keputusan oleh Taliban ini dilihat akan memudaratkan rakyat Afghanistan, prospek pertumbuhan ekonomi negara dan cita-cita Taliban untuk memperbaiki hubungan dengan masyarakat antarabangsa.

"Demi masa depan Afghanistan dan hubungan Taliban dengan masyarakat antarabangsa, kami menggesa Taliban untuk memenuhi komitmen kepada rakyat mereka.

"Kami juga berdiri bersama gadis Afghanistan dan keluarga mereka, yang melihat pendidikan sebagai jalan untuk merealisasikan potensi penuh masyarakat dan ekonomi Afghanistan," katanya.

Taliban, yang merampas kuasa pada Ogos tahun lalu dan ingin segera mendapat pengiktirafan antarabangsa, menutup sekolah menengah perempuan minggu ini hanya beberapa jam selepas membukanya.

Keputusan Taliban untuk menutup sekolah bagi pelajar perempuan dibuat selepas mesyuarat Selasa lalu, diadakan oleh pegawai kanan di selatan bandar Kandahar.

Ia susulan usaha daripada masyarakat antarabangsa untuk menangani isu sokongan gaji guru dan hadir pada ketika gadis Afghanistan bersemangat untuk kembali ke sekolah buat kali pertama dalam tujuh bulan.

Dalam satu kenyataan bersama Khamis lalu, Menteri Luar Britain, Kanada, Perancis, Itali, Norway dan AS serta wakil tinggi Kesatuan Eropah, berkata keputusan Taliban akan menjejaskan pengiktirafan mereka.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet, berkata penafian pendidikan melanggar hak asasi wanita dan kanak-kanak perempuan, menyebabkan mereka lebih terdedah kepada keganasan, kemiskinan dan eksploitasi.

Ketua Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik PBB (UNESCO), Audrey Azoulay, turut mengkritik tindakan Taliban, menyebutnya sebagai kemunduran besar.

"Akses kepada pendidikan adalah hak asasi. UNESCO mengulangi gesaan bahawa kanak-kanak perempuan mesti dibenarkan kembali ke sekolah tanpa berlengah lagi," katanya. - AFP

Berita Harian X