Sabtu, 26 March 2022 | 3:35pm
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto AGENSI
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto AGENSI

'Kebimbangan besar' mengenai perjanjian China-Kepulauan Solomon: PM Australia

AUSTRALIA: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, menyatakan kebimbangan besar di seluruh Pasifik selepas Kepulauan Solomon mengesahkan ia mewujudkan perkongsian keselamatan dengan China.

Ini berikutan, negara Kepulauan Pasifik itu semalam menyatakan akan memperluaskan hubungan dengan China untuk memerangi ancaman keselamatan dan memastikan persekitaran yang selamat untuk pelaburan memandangkan ia sedang mempelbagaikan hubungan keselamatan.

Pakatan keselamatan China yang berpotensi dengan Pulau Solomon mencetuskan kebimbangan dalam kalangan sekutu Amerika Syarikat (AS) iaitu Australia dan New Zealand mengenai pengaruh China di wilayah yang telah mereka kuasai selama beberapa dekad.

Morrison berkata, terdapat kebimbangan besar di seluruh keluarga Pasifik kerana mereka sentiasa berhubung dengan keluarga di Pasifik.

"Saya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemimpin sepanjang hujung minggu ini dan semalam bermesyuarat dengan ketua misi kami dan Perdana Menteri, Kepulauan Solomon, Manasseh Sogavare," katanya.

Australia sebelum ini melahirkan kebimbangan mengenai kesan terhadap keselamatan serantau kerjasama ketenteraan antara China dan Kepulauan Solomon selepas draf dokumen yang menggariskan kerjasama yang dicadangkan itu bocor minggu ini.

Khamis lalu, seorang pegawai Kepulauan Solomon memberitahu Reuters bahawa perjanjian keselamatan dengan China meliputi ketenteraan akan dihantar ke kabinetnya untuk dipertimbangkan dan difahamkan ia sudah ditandatangani.

Kepulauan Solomon, sebuah negara pulau kecil sekitar 2,000 kilometer (km) timur laut Australia, menukar pengiktirafan diplomatik kepada Beijing dari Taiwan pada 2019, menandakan pengaruh China yang semakin meningkat di Pasifik.

Washington bulan lalu berkata, ia akan membuka kedutaan di ibu negara Honiara di tengah-tengah kebimbangan China sedang berusaha untuk mengukuhkan hubungan ketenteraan di sana. - REUTERS

Berita Harian X