Khamis, 24 March 2022 | 4:49pm
Kakitangan perubatan berpakaian perlindungan diri (PPE) membantu orang ramai di Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao di Pelabuhan Hong Kong Port, ketika kepulauan itu semakin teerus diancam pandemik COVID-19. - Foto REUTERS
Kakitangan perubatan berpakaian perlindungan diri (PPE) membantu orang ramai di Jambatan Hong Kong-Zhuhai-Macao di Pelabuhan Hong Kong Port, ketika kepulauan itu semakin teerus diancam pandemik COVID-19. - Foto REUTERS

Saintis Hong Kong gesa kerajaan tinggalkan strategi sifar COVID-19

HONG KONG: Saintis di Hong Kong menggesa pemerintah untuk beralih dari strategi sifar COVID-19 yang dilaksanakan China sebelum berlaku fasa penularan melainkan hab kewangan itu sedia 'menutup pelabuhan selama-lamanya'.

Hong Kong melaksanakan larangan ketat bagi membendung penularan virus selama dua tahun tetapi ia mengakibatkan wilayah itu semakin terasing dan penularan Omicron sejak Januari lalu menyebabkan penduduk dan peniaga meninggalkan kota itu.

Lonjakan besar kes mengancam teruk sistem penjagaan kesihatan Hong Kong hingga menyaksikannya berdepan dengan kadar kematian COVID-19 yang tertinggi dalam kalangan negara maju.

Pemerintah Hong Kong juga menghadapi kritikan teruk kerana gagal menyuntik vaksin bagi penduduk warga tua mengikut masa yang diperlukan.

Kelmarin, media antarabangsa melaporkan kemungkinan Hong Kong membuka semula sepenuhnya perjalanan antarabangsa ke wilayah itu.

Langkah itu dijangka memberi 'sedikit kesan kecil' terhadap penyebaran coronavirus, menurut satu kajian akademik yang dikeluarkan ketika hab kewangan itu mula melonggarkan langkah kawalan pandemik.

Kajian bertajuk 'Perancangan ke hadapan, selepas gelombang kelima HK Omicron BA.2', menjangkakan gelombang keenam akan bermula pada Jun ini.

Ia berikutan pelaksanaan langkah untuk mengawal penyebaran penyakit itu dilonggarkan sejak beberapa bulan kebelakangan dan tindakan bandar itu meningkatkan kadar vaksinasi.

Menurut pakar dari Universiti Hong Kong, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Makmal Penemuan Data untuk Kesihatan, ia tidak akan memberi kesan langsung selagi pengembara yang tiba sudah divaksinasi sepenuhnya atau mempunyai ujian negatif ketika menaiki penerbangan ke wilayah yang dikuasai China itu.

Penyelidik mengesyorkan strategi terbaik untuk kerajaan Hong Kong pada masa hadapan adalah 'peralihan terkawal... lebih cepat daripada sepatutnya' bagi masyarakat meneruskan hidup dengan penyakit itu.

Pihak berkuasa di Hong Kong dan China berpegang kepada dasar 'sifar dinamik', berusaha untuk membendung wabak sebaik saja ia berlaku melalui pengesanan kontak yang dilakukan secara meluas, ujian dan pengasingan diri.

Bagaimanapun, sejak Februari lalu, bekas tanah jajahan British itu bergelut untuk mengatasinya apabila jangkitan dan kematian meningkat.

Pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, pada Isnin lalu berkata, Hong Kong akan melonggarkan peraturan penjarakan sosial pada April serta menarik balik larangan penerbangan dari sembilan negara.

Ia sebagai tindak balas bagi melonggarkan langkah ketat bandar itu ketika seluruh dunia beralih kepada kehidupan bersama virus. - AGENSI

Berita Harian X